Kurikulum sekolah di Malaysia setanding negara lain

Iklan
Fadhlina

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, dalam proses semakan kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan kajian perbandingan kurikulum persekolahan di negara ini dengan negara lain seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland.

Iklan
Iklan

"Dapatan menunjukkan bahawa kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu kerajaan menjelaskan tentang langkah-langkah yang telah diambil berkaitan ketidaksesuaian kurikulum tahap satu dengan usia murid seperti rintihan ibu bapa mereka.

Iklan

Sebelum ini timbul polemik apabila tahap silibus mata pelajaran untuk murid tahap satu disifatkan terlalu tinggi berbanding usia mereka hingga ramai pihak mendesak KPM mengkaji semula isu tersebut.

Fadhlina memberitahu, penambahbaikan pelaksanaan kurikulum bertujuan merapatkan jurang dalam pelaksanaan kurikulum dan seterusnya meningkatkan kemenjadian murid.

Iklan

Tegasnya, antara langkah yang dilaksanakan bagi merapatkan kesenjangan pelaksanaan kurikulum ialah pemugaran kurikulum semasa sekolah rendah, pemugaran pendidikan digital, memperkasakan latihan guru dan melihat semula kesesuaian peruntukan waktu bagi mata pelajaran.

"'KPM yakin usaha yang dilakukan ini dapat memastikan setiap murid menerima pendidikan yang terbaik dan berkualiti," ujarnya.

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan, KPM sentiasa berusaha memastikan pendidikan murid diberi keutamaan dengan melaksanakan kurikulum yang relevan dengan keperluan pembelajaran murid mengikut usia.

"Matlamat kurikulum sekolah rendah terutama pada Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) adalah untuk memupuk perkembangan fizikal, kognitif, mental, emosi, sosial, rohani, sikap dan nilai.

"'Fokus kurikulum Tahap I adalah untuk penguasaan kemahiran 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul), kemahiran asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), kreatif dan inovatif,"ujarnya.

Kata beliau, pelaksanaan mata pelajaran pada tahap satu membolehkan setiap kanak-kanak membina asas amalan nilai murni, membentuk keyakinan diri dan sikap positif serta pemerolehan pengetahuan dan kemahiran asas sebagai persediaan untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.