ANTAKYA, TURKIYE - [DIKEMAS KINI] Setiap hujung minggu, Hanan Arroi, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bersama adik lelakinya, Adnan, 8 tahun, tidak pernah terlepas mengikuti kelas al-Quran dan bahasa Arab di Persatuan Bantuan Sosial dan Perpaduan Hama.
Kedua-dua beradik warga Syria itu juga merupakan murid bijak dan sentiasa menceriakan suasana di dalam kabin yang dijadikan kelas pembelajaran.
Bahkan Hannan dan Adnan juga mempunyai minat yang sama iaitu melukis sehinggakan lukisan ciptaan mereka ditampal di dinding kabin.
Namun, selepas kejadian gempa bumi di negara ini mengubah segala-galanya khususnya buat warga pusat komuniti itu apabila Hanan dan Adnan terkorban.
Kedua-dua mereka gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam runtuhan di kediaman mereka, tidak jauh dari lokasi pusat komuniti itu.
Ketua pusat komuniti itu Ammar Alnjjar, 44, berkata, selain Hanan dan Adnan, rakan sekelas mereka, Nizar Dubais, 9, dan seorang guru kelas agama turut menjadi mangsa korban gempa.
"Waktu saya dapat berita ini, saya tidak dapat menahan air mata kerana ketiga-tiga murid ini umpama anak-anak saya.
"Tambahan pula Hanan dan Adnan sangat rapat dengan saya. Saya tidak tahu bagaimana saya ingin memberitahu perasaan saya pada ketika ini," katanya kepada Sinar Harian sambil gagal menahan air mata.
Bagi Ammar, kehilangan empat individu itu amat dirasai oleh komuniti Syria di sini.
"Guru wanita ini satu-satunya guru yang disayangi oleh 200 murid di sini.
"Lukisan Hanan dan Adnan pula tidak akan Kami tinggalkan. Hanya lukisan ini yang mampu mengubati hati kami," katanya.
Selepas kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter pada 6 Februari lalu, pusat komuniti ini bertukar wajah menjadi pusat perlindungan buat warga Syria yang kehilangan tempat tinggal.
"Selain kelas pembelajaran, pusat komuniti ini turut mempunyai khidmat nasihat guaman dan tempat untuk remaja Syria bersukan.
"Kelas menempatkan Hanan, Adnan dan Nizar kini dijadikan sebagai tempat rawatan," katanya.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/