KULAI - Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor akan membuat laporan polis sekiranya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dijadikan sasaran fitnah isu salah guna kuasa.
Ketuanya, Datuk Azlinda Abd Latif berkata, tindakan tersebut akan diselaraskan ke seluruh negara dan gelombang tersebut akan dimulakan di Johor.
"Saya percaya SPRM menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Sememangnya fitnah ini perlu dihentikan kerana terdapat juga laporan perbelanjaan mewah oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Laporan tersebut telah dihantar ke SPRM pada minggu lalu. Kita harap ada perkembangan terhadap laporan tersebut. Jika hendak siasat, siasat lah kesemua parti politik yang bertanding pada PRU15, bukan Bersatu sahaja.
"Oleh itu sebagai ahli parti, kita merasakan ia tidak adil kepada pucuk pimpinan. Kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar Wanita PN Johor di Bilik Gerakan PN negeri di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Muslimat Pas negeri, Zakiah Tukirin dan Ketua Wanita Gerakan negeri, Susan Yong.
Media pada Jumaat, melaporkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan membabitkan dana RM300 juta yang didakwa diterima Bersatu.
Muhyiddin dipanggil dipercayai bagi memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Ketika diminta mengulas mengenai dana Bersatu yang masih dibekukan, Azlinda berkata, perkara itu tidak menghalang Wanita PN bergerak membawa agenda rakyat.
"Realitinya memang sukar tetapi kami bermula dengan gerakan fisabilillah dan infaq. Kami percaya kepada kekuasaan ALLAH, sebab kita bermula sebagai parti fisabilillah yang ahli parti menyumbang sendiri," katanya.
Pada 1 Februari lalu, SPRM dilaporkan membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu.
Sementara itu, Azlinda memberitahu Wanita PN Johor yang terdiri daripada 200,000 ahli akan membantu PN berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Wanita PN Johor juga akan membuka penyertaan sukarelawan bagi membantu PN berkempen. Kita akan fokus kepada tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah," ujarnya.