SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Zainun Ali sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas berkuatkuasa Jumaat.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu sememangnya tidak asing dalam MAHB dan pernah menerajui syarikat itu pada 18 Januari 2019 hingga 11 Ogos 2020.
Iklan
Iklan
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universiti Cambridge, United Kingdom dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman.
Zainun telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Ogos 1996 dan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sejak April 2012.
Ketika ini, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pengarah Allianz Malaysia Berhad (AMB) dan perunding di firma guaman Zain & Co.
Selain itu, Zainun juga merupakan hakim di Tribunal Pentadbiran Bank Pembangunan Islam Jeddah dan penimbang tara berdaftar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Beliau juga menganggotai Lembaga Penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).