KUANTAN - Sebanyak 512 premis makanan seluruh negara termasuk 18 di Pahang
mendaftar dalam direktori Menu Rahmah sehingga Khamis.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, senarai premis makanan itu kini boleh diperoleh melalui direktori di pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my bermula 5 petang pada Jumaat.
Menurutnya, pautan itu dapat membantu memudahkan orang ramai mencari premis yang menyediakan menu tersebut.
"Pada masa sama, peniaga makanan yang menawarkan Menu Rahmah di premis mereka juga boleh mendaftar melalui pautan itu.
"Mereka sanggup mengurangkan keuntungan untuk bersama kerajaan dalam meringankan beban rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Menu Rahmah peringkat negeri Pahang di sini pada Jumaat.
Fuziah berkata, inisiatif Menu Rahmah menerima maklum balas amat positif setakat ini.
"Terdapat juga maklum balas negatif yang dilihat lebih bersifat politik dan bukan suara rakyat," jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan Menu Rahmah yang disediakan peniaga mengekalkan kuantiti dan kualiti rasanya walaupun dijual pada harga RM5 sedangkan harga sepatutnya RM8.20.
"Pihak kerajaan di peringkat kementerian juga bincang untuk bantu peniaga melalui beberapa cadangan menarik supaya menu ini dapat diteruskan untuk jangka panjang.
"Ia termasuk cadangan bagi menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kos bahan mentah yang boleh membebankan peniaga terlibat," katanya," katanya.
Fuziah berkata, ketika ini Menu Rahmah mendapat sambutan dari pelbagai segmen perniagaan makanan termasuk di restoran India Muslim, kedai masakan panas, restoran makanan segera dan gerai hentian rehat dan rawat (RnR).
"Saya menyambut baik kerana usaha peniaga yang menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan Menu Rahmah ini secara sukarela di Pahang dan seluruh negara," katanya.