KOTA KINABALU - Sebanyak 40 alat Peranti Pengumpul Ikan (FDA) diberikan kepada nelayan laut dalam menerusi kolaborasi antara Jabatan Perikanan Sabah dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan berkata, kolaborasi ini adalah bagi membantu meningkatkan hasil perikanan khususnya nelayan laut dalam di negeri ini.
"Kita berterima kasih kepada Petronas kerana bersetuju untuk memberikan peranti ini sehingga 40 unit dan kita harap lebih banyak lagi kolaborasi akan dibuat selepas ini antara Petronas dan kerajaan negeri.
"Saya percaya peranti ini akan diletakkan di seluruh Sabah dan ia fokus untuk menangkap ikan jenis tuna sirip kuning," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan Sabah dan Petronas di sini pada Jumaat.
Jeffry yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, peranti itu akan diletakkan di perairan Sabah pada Mac depan.
"Dari segi peningkatan jumlah tangkapan ikan itu bergantung kepada berapa lama nelayan menggunakan alat ini tetapi saya percaya lebih lama ia digunakan lebih banyak ikan akan tertarik dan sedar akan kehadiran peralatan ini.
"Alat ini akan diletakkan pada Mac depan dan ini adalah kali pertama perjanjian ini dilaksanakan. Kita harap akan ada lebih banyak kolaborasi seumpama ini antara Petronas dengan kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata, di Sabah terdapat lebih 90 pemegang lesen nelayan tuna.
"Jabatan Perikanan yang akan memberikan nasihat kepada nelayan yang kita pilih dan mereka yang akan labuhkan ke kawasan yang telah dikenal pasti.
"Nelayan dipilih pula mestilah nelayan asli yang menangkap ikan di laut dalam dan mesti berlesen dengan kita iaitu lesen menangkap tuna," katanya.
Sebelum itu, majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Azhar dan Ketua Pengurusan Operasi Petroleum, Pengurusan Petroleum Malaysia, Handan Ramli.