Presiden Jerman bertemu Anwar di Putrajaya

Iklan
Anwar menerima kunjungan hormat Steinmeier di Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang sedang dalam rangka lawatan negara ke Malaysia bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Jumaat bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman.

Steinmeier yang tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari itu pada Khamis disambut Anwar sejurus tiba di Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada kira-kira jam 5.15 petang.

Iklan
Iklan

Presiden Jerman itu menandatangani Buku Tetamu di aras satu bangunan berkenaan, sebelum ke aras lima yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri bagi mengadakan pertemuan empat mata bersama Anwar.

Antara yang turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Duta Besar Jerman di Malaysia, Dr Peter Blomeyer.

Iklan

Lawatan negara Steinmeier itu sebagai sebahagian usaha berterusan mengukuhkan hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Jerman.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan pada Khamis menyatakan lawatan Steinmeier itu akan memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua negara.

Iklan

Lawatan negara terakhir melibatkan Presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Pada 2022, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus berjumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion (AS$13.03 bilion) pada 2021.

Terdahulu, Steinmeierhari pada Jumaat diberikan sambutan negara di pekarangan Parlimen di Kuala Lumpur.

Steinmeier pada Jumaat turut dijadual mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara serta diraikan dalam majlis santapan negara. - Bernama