Sokong menteri capai matlamat 'Pendidikan Berkualiti Untuk Semua'

Iklan
Gambar hiasan

TANGGAL 5 Disember 2022 tepat jam 8.55 pagi menyaksikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq memulakan tugas hari pertamanya di Kompleks E, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya.

Berpengalaman luas sebagai peguam yang berkepakaran khusus dalam undang-undang keluarga Islam, selain sebagai tokoh aktivis di lapangan yang lantang memperjuang isu wanita dan hal kebajikan kanak-kanak, beliau dilihat sebagai calon tepat untuk menggalas tanggungjawab tersebut

Iklan
Iklan

Setelah lebih dua bulan menjalankan amanah yang diberi, ternyata cabaran yang dihadapi Fadhlina bukan mudah. Pendidikan adalah isu nasional yang terkait dengan setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

KPM sendiri adalah sebuah kementerian yang sangat besar dan melibatkan jumlah manusia yang sangat ramai, selain lapisan jabatan yang cukup kompleks dari segi pentadbiran serta pengurusannya.

Iklan

Tatkala semua pihak mahu memastikan tiada murid yang ketinggalan mendapat akses pendidikan yang baik dan berkualiti, adalah tidak adil untuk mengharapkan beliau menyelesaikan masalah yang telah sedia ada sejak berdekad lamanya, dalam sekelip mata.

Penulisan ini membincangkan secara asas situasi pendidikan waktu ini, isu pokok yang sedang dihadapi dan inisiatif yang sedang diusahakan KPM untuk mengatasinya.

Iklan

Seperti yang kita sedia tahu, dalam tujuh teras KPM, memang diberikan penekanan untuk mengenal pasti masalah utama dalam pendidikan.

Maksudnya di sini, Fadhlina memahami keluhan semua pihak dan mengambil maklum masalah sedia ada, yang kebanyakannya telah lama berakar umbi.

Isunya ialah untuk menggerakkan perubahan operasional tidak dimulakan secara revolusi, tetapi, secara reformasi.

Dalam erti kata lain, berevolusi dan mengambil langkah demi langkah, satu per satu, bukan serta merta.

Gerak kerja telah bermula dan pasti akan ada inisiatif baru dan penyelesaian masalah sedia ada yang akan diumumkan kelak, namun kesemuanya perlu dilakukan dengan teliti, mengambil kira nasihat pemegang taruh berbeza serta menerusi perbincangan dengan sayap profesional dan pengurusan.

Tiada siapa menafikan isu seperti situasi di mana pekeliling yang dikeluarkan KPM lain, tetapi operasi di bilik darjah pula lain, disebabkan oleh pemekatan arahan daripada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekolah.

Ya, isu ini memang terjadi, telah lama berakar umbi dan ia perlu diatasi. Namun, adalah tidak adil untuk menyalahkan menteri yang belum pun sampai 100 hari berkhidmat.

Isu beban tugas guru juga bukan sesuatu yang baru. Menteri-Menteri Pendidikan terdahulu telah turut membincangkan isu ini. Adalah tidak wajar untuk menyalahkan Fadhlina atas masalah yang telah sudah lama wujud.

Sistem Pengurusan Identiti (iDME) dan Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dikatakan membebankan sebenarnya diperkenal oleh kepimpinan terdahulu, justeru implementasi dan penyelesaian masalah berkaitan memerlukan masa untuk penyelesaian terbaik.

Sistem pelayan (server) atau sistem capaian yang lemah telah dikenal pasti berlaku sejak lebih 10 tahun lalu. Silibus sedia ada pula telah melalui banyak proses perubahan serta semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan pengenalan Common European Framework of References (CEFR), menerusi tiga Menteri Pendidikan sebelum ini.

Sesungguhnya, pendidikan mempunyai kesan mendalam, yang melibatkan generasi berbeza. Contohnya, apabila Program Dwibahasa (DLP) dibuat secara tergesa gesa operasionalnya di seluruh negeri Sarawak, ia melibatkan implikasi kewangan yang amat besar, kesediaan keguruan serta kesediaan bahan sumber yang tidak kunjung selesai. Kekangan-kekangan ini yang disebabkan pelaksanaan yang tergesa-gesa hingga menjadikan murid mangsa sehingga mereka tamat sesi persekolahan.

Dalam konteks DLP, timbul beberapa masalah dalam perlaksanaannya. Pertama, seandainya murid tersebut telah terpilih dalam kelas tersebut, mereka tidak boleh bertukar ke aliran kelas biasa.

Jika mereka ingin berpindah sekolah pula, mereka perlu berpindah ke sekolah yang menawarkan kelas DLP juga. Kedua, jika murid menyertai kelas itu sewaktu peringkat sekolah rendah, mereka perlu meneruskannya di sekolah menengah.

Ketiga, terdapat risiko tinggi untuk murid yang gagal mengikuti kelas ini dengan baik terutamanya apabila pembelajaran Sains dan Matematik yang melibatkan terma yang sukar.

Kita tidak anti kepada bahasa Inggeris. Belajar dan fasihah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati demi kemajuan anak bangsa. Tingkatkanlah penguasaan bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjeknya.

Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Maka, sebab itu KPM perlu lebih berhati-hati agar tidak terjerumus ke lembah yang lebih merosakkan.

Pada waktu ini, tidak sepatutnya mempertikai keupayaan Fadhlina dalam memimpin KPM. Sebaliknya, beliau perlu diberi masa dan sokongan penuh untuk melaksana semua agenda perubahan dalam pendidikan.

Dalam tempoh singkat, Menteri Pendidikan telah menunjukkan komitmen tinggi untuk menggalakkan komunikasi terbuka dalam kalangan guru, menganjurkan sesi libat urus bersama pemegang taruh dan memulakan usaha untuk mengatasi masalah sekolah daif. Kesemua ini, bertepatan dengan tumpuan tujuh teras utama untuk memperkasa pendidikan kebangsaan.

Pada waktu sama, Fadhlina mempunyai citra besar membawa dan meneruskan perjuangan ayahanda beliau, Datuk Dr Siddiq Fadzil, dalam mengangkat pembinaan karakter menerusi Pendidikan al-Hikmah.

Hal ini berikat rapat dengan Karamah Insaniah (kemuliaan insan) dalam membentuk watak Guru Insani. Sejelasnya, pembinaan watak Guru Insani wajib berasaskan kepada nilai. Suatu set nilai yang tepat dan mesti mencukupi, sepertimana yang dirumuskan dalam Surah Luqman, yang relevan sepanjang zaman.

Semua ini membuktikan komitmen Menteri Pendidikan untuk mencari penyelesaian kepada masalah serta kekangan yang telah lama wujud. Semoga Fadhlina dan KPM terus berusaha keras menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan terdidik serta membangunkan potensi diri anak-anak bagi memenuhi aspirasi negara pada masa hadapan.

Apa yang menarik, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sendiri sudah memberikan lampu hijau untuk masyarakat menilai dan mengkritik mereka. Keterbukaan ini adalah suatu yang penting sebagai semak dan imbang yang dapat membantu kemajuan masyarakat dan negara.

Namun, ia tidak boleh dijadikan medan untuk menabur fitnah dan kebencian, apa lagi sebagai medan untuk membuli.

Mengkritik demi kebaikan tidak salah, asal saja tidak berlebih-lebihan sehingga melibatkan permainan persepsi yang bersifat palsu.

Sebaliknya, teguran yang konstruktif dan praktikal adalah jauh lebih baik, selagi mana ia berlandaskan ilmu dan kerasionalan, dengan bersadurkan adab dan akhlak.

Pendapat yang popular tidak semestinya betul dan sesuai untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara. Memetik bait indah puisi Sasterawan Negara, Usman Awang dalam karya ‘Membunuh Mimpi (Sebuah Pesan untuk Mayawati)’:

"Dapatkan keberanian hidup barudari kekuatan hati dan ketinggian ilmu.”

* Zairudin Hashim ialah Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).