PM gesa kaji semula peraturan produk bebas penebangan hutan

Iklan
Anwar Ibrahim (lima dari kanan) mengadakan pertemuan bersama Frank-Walter Steinmeier (lima dari kiri) ketika menerima kunjungan hormat Presiden Jerman itu di Perdana Putra pada Jumaat. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menggesa Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dikaji semula kerana ia memberikan kerumitan dan cabaran kepada industri minyak sawit.

Semasa sidang media bersama dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini di Perdana Putra di sini pada Jumaat, Anwar berkata, Malaysia menghadapi sedikit kesukaran dalam siri rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk membincangkan perkara itu.

Iklan
Iklan

"Untuk berlaku adil kepada rantau ini, kami telah mengambil semua langkah yang perlu, melakukan penghutanan semula, termasuk kawasan tanah gambut, oleh itu mereka tidak sepatutnya melaksanakan peraturan yang terlalu ketat,” katanya.

EU telah menggubal EUDR pada 6 Disember 2022. Peraturan itu mengkehendaki semua syarikat berkaitan untuk mematuhi penilaian wajar mandatori sekiranya mereka mahu menjual produk mereka di pasaran EU.

Iklan

Syarikat juga dikehendaki membuktikan produk mereka bebas penebangan hutan dan menyediakan maklumat geografi yang tepat di mana sumber komoditi itu didapatkan.

Anwar menegaskan, Malaysia komited kepada isu perubahan iklim dan menyuarakannya menerusi persefahaman dan rundingan.

Iklan

Sementara itu, perdana menteri berkata, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah melahirkan hasrat untuk mengembangkan eksport gas asli cecairnya (LNG) ke Jerman.

Petronas aktif membekalkan kargo LNG ke United Kingdom dan Eropah.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dari EU. Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus kepada AS$13.62 bilion (RM59.87 bilion) berbanding AS$13.03 bilion (RM53.99 billon) pada 2021. - Bernama