IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerugian dianggarkan RM135,000 selepas bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk pada Selasa lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kejadian itu disedari ketika MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari ini.
"Pasukan selenggara mendapati bilik 'high mast pole' 3 telah dipecah masuk.
"Hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, laporan telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
"Susulan kejadian itu, MBI telah memperketatkan kawalan keselamatan di seluruh kawasan Stadium Perak.
"Kerja-kerja pembaikan telah bermula bagi membolehkan perlawanan pertama pasukan Perak FC menentang Kedah Darul Aman FC pada Liga Super diadakan mengikut jadual," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.