KEPUTUSAN bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk membuat 'comeback' dengan merebut jawatan tertinggi sayap wanita itu pada pemilihan akan datang sememangnya tidak mengejutkan.
Hal ini kerana, desas-desus mengenai bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ingin membuat kemunculan kembali dalam pentas politik sememangnya telah mula bertebaran sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun teka-teki mengenainya berakhir selepas beliau sendiri mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan yang ketika ini disandang Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Justeru, kini sahlah Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong bakal dicabar bekas 'mentornya' yang sebelum ini membuat keputusan untuk berundur pada 2018 lalu.
Noraini yang mula memegang jawatan Ketua Wanita UMNO pada tahun sama Shahrizat mengumumkan untuk mengundurkan diri juga turut disahkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
Menurut laporan, hasrat Noraini mempertahankan jawatannya itu sudah dinyatakan kepada pimpinan sayap dan negeri baru-baru ini.
Difahamkan, buat masa ini, jawatan Ketua Wanita UMNO hanya melibatkan perebutan antara Shahrizat dan Noraini.
Persoalannya kini, mampukah Shahrizat yang dilihat lebih lantang berbanding Noraini menyandang kembali jawatan yang pernah ditinggalkan sebelum ini.
Jika dilihat, kedua-duanya mempunyai peluang yang sama rata, namun mampukah Shahrizat meraih kepercayaan perwakilan untuk memilihnya susulan pernah terpalit dengan isu rasuah membabitkan suaminya.
Segalanya bakal terjawab dalam pemilihan sayap parti itu tidak lama lagi.