Terperangkap dalam keadaan bersujud

Iklan
Abdul Wahab menceritakan detik hitam yang melanda dirinya ketika ditemui Sinar Harian di rumah rakannya di Reyhanly. - FOTO SINAR HARIAN/NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

REYHANLI, TURKIYE - Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) terperangkap dalam keadaan bersujud selama lebih lima jam dalam runtuhan bangunan kediamannya di Antakya ketika kejadian gempa bumi kuat melanda negara ini pada 6 Februari lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi, Abdul Wahab Salloum, 32, ketika itu berada di ruang tamu rumahnya di tingkat satu bangunan dua tingkat.

Iklan
Iklan

Abdul Wahab merupakan warga Syria yang menetap di negara ini dan putus pergelangan kaki kiri akibat perang di negara asalnya sebelum ini.

Abdul Wahab berkata, dia terpaksa merangkak menuju ke pintu untuk melarikan diri selepas berlaku gegaran pada kali pertama.

Iklan

Bagaimanapun katanya, ketika menghampiri pintu, berlaku gegaran paling kuat hingga menyebabkan lantai rumahnya runtuh dan pada waktu yang sama, bumbung rumah menghempap belakangnya.

Abdul Wahab menerima bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care yang disalurkan bagi meringankan bebannya.- FOTO SINAR HARIAN/NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

"Dalam keadaan bersujud, runtuhan bumbung menimpa pinggul saya. Mujur saya sempat melindungi belakang kepala dengan tangan kanan yang bersimen akibat tulang patah sebelum ini.

Iklan

"Bagaimanapun saya kemudiannya terus tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah rakannya di bandar ini.

Abdul Wahab berkata, dia tersedar selepas lebih lima jam apabila terdengar suara jiran memanggil namanya.

"Dalam keadaan tidak bermaya, saya sedaya upaya menjerit meminta tolong dan Alhamdulillah laungan saya didengari," katanya yang mengalami kecederaan patah tulang pinggul akibat runtuhan berkenaan.

Bercerita lanjut katanya, perkara yang paling membuatkan dirinya menyesal adalah kehilangan sepupunya, Mahmoud Salloum, 26, yang terkorban dalam runtuhan berkenaan.

Ini kerana katanya, sehari sebelum kejadian, dia mengarahkan Mahmoud yang menetap di Istanbul hadir ke rumahnya.

"Saya minta Mahmoud datang membawa abangnya yang sakit ke hospital, tidak sangka ia merupakan panggilan maut buat dirinya.

"Mayatnya pula berada bersebelahan dengan saya dalam runtuhan itu," katanya terkilan.

Abdul Wahab antara penerima bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care yang disalurkan bagi meringankan bebannya.

Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syiria

Keadaan rumah Abdul Wahab yang musnah akibat gempa bumi yang melanda Turkiye pada 6 Februari lalu. - FOTO SINAR HARIAN/NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Ikuti perkembangan semasa mengenai gempa bumi Turkiye di sini!