MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menghantar skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September ini.
Bagaimanapun Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya belum mengadakan perbincangan lanjut berhubung keputusan itu dengan FAM memandangkan senarai pemilihan atlet ke Sukan Asia belum lagi dimuktamadkan.
"Bagi saya setiap persatuan mempunyai perancangan tersendiri untuk medium atau jangka panjang, pasukan mana nak hantar.
"Buat masa ini kita hormat keputusan di peringkat persatuan (FAM)," katanya ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-204.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat kerana penganjuran Sukan Asia begitu hampir dengan tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang dijadual berlangsung pada bulan sama.
Katanya, perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira pandangan Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell dan Ketua Jurulatih E Elavarasan bahawa pusingan kelayakan itu lebih penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk rekod Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober, manakala pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dijangka bermula dari 4 hingga 12 September.
Tiga pasukan terbaik dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.