SHAH ALAM - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Vokasional Sepang dan Kolej Vokasional Sungai Buloh tampil memberikan sumbangan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Pengarah programnya, Amir Afiq Badran berkata, sebanyak 300 kit penjagaan diri dan sumbangan makanan diserahkan kepada golongan itu.
Menurutnya, program itu bertujuan memberikan pengalaman kepada kira-kira 80 peserta tentang kehidupan sebenar gelandangan pada waktu malam.
"Kita mahu gelandangan hidup sihat dan menerapkan nilai kebersihan dalam diri masing-masing," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Amir Afiq yang juga Ketua Exco Kebajikan MPP Kolej Vokasional Sepang memberitahu, program itu juga sebagai usaha memupuk kebersihan dan penjagaan diri untuk sentiasa sihat walaupun mereka hidup secara gelandangan.
Bagaimanapun, katanya, bantuan diberikan itu masih belum mencukupi berikutan jumlah gelandangan terlalu ramai.
"Namun, kita berbesar hati kerana dapat menjayakan program ini walaupun sumbangan tidak dapat diberikan kepada semua gelandangan.
"Kami berterima kasih kepada penaja program terdiri daripada pengurusan kolej, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pensyarah, ibu bapa, rakan industri, tokoh korporat dan pelajar daripada kedua-dua kolej," ujarnya.