ALAM persekolahan adalah kenangan sangat indah bagi setiap kita.
Di sinilah kita belajar mengenal kawan, belajar tentang kehidupan bahkan dari sekolahlah karektor dan jati diri kita akan terbentuk.
Namun nasib setiap dari kita tidak sama.
Ada lahir dari keluarga kurang berkemampuan, keluarga sederhana dan ada yang datang dari keluarga diberi kesenangan.
Namun di sekolah, kta akan 'bergaul' dan membesar bersama-sama.
Hari Jumaat merupakan hari terakhir persekolahan dan pastinya setiap kelas terutama pelajar sekolah rendah akan mengadakan jamuan di mana setiap pelajar akan membawa makanan masing-masing dari rumah.
Satu perkongsian dari seorang guru, Mr Ali di akaun TikTok miliknya pasti membuatkan kita sebak.
Ya, sebak kerana nasib seseorang itu tidak sama.
Nasib kerana disisihkan rakan-rakan kerana kita miskin.
Hanya mampu membawa jamuan biskut ke sekolah sedangkan pelajar lain membawa makanan yang lebih enak.
Tapi satu yang sama-sama dapat kita pelajari, guru memainkan peranan sangat penting untuk mendidik anak kecil agar menghargai apa sahaja dibawa rakan pelajar ke sekolah ketika jamuan akhir tahun.
Ya, sama-sama menikmati rezeki tanpa membezakan kita kaya atau miskin.
Kongsi guru tersebut, setiap kali jamuan kelas, beliau pasti akan teringat tentang seorang pelajarnya dahulu.
Katanya, pelajar Tahap 1 tersebut sangat baik dan jarang membuat hal dalam kelas serta kerja sekolah sentiasa siap dilakukannya.
Tiba hari jamuan kelas, ketika beliau sedang menyusun makanan di atas meja, seorang murid bernama Adam (bukan nama sebenar) menghampirinya dan berkata ingin meletakkan makanan yang dibawa di hujung meja.
Tanpa memikir panjang, guru tersebut bersetuju dan disebabkan sibuk melayan murid-murid ketika jamuan kelas, guru itu tidak melihat apa yang dibawa murid berkenaan.
Tiba tamat majlis, Mr Ali terus menolong murid-murid membungkus makanan untuk dibawa pulang ke rumah.
Namun seorang murid ini terus mengambil bekas makanan yang dibawa dan memasukkanya ke dalam beg.
Tiba-tiba salah seorang murid bersuara dengan kuat dan bangun.
Mr Ali terus menoleh kepada Adam dan melihat wajahnya sangat sedih sambil menutup mata.
Guru itu terus memanggil Adam ke hadapan dan membuka bekal makanan yang dibawanya.
Di dalam bekas tadi, Mr Ali melihat Adam membawa biskut kering yang telah dipatah-patahkan.
"Mereka tidak mahu makan biskut saya cikgu, sebab saya miskin," kata Adam sambil mengalirkan air mata.
"Tak ada orang kata awak miskin, ini cikgu makan biskut awak.
"Sedap, cikgu ambil satu lagi boleh?" tanya Mr Ali.
Terus Adam tersenyum dan duduk kembali di mejanya.
Dengan bekas makanan masih di tangan, Mr Ali berpesan kepada murid-murid dalam kelas walau siapa pun beri makanan, kita kena hargai dan jangan hina orang.
"Tengok apa yang kami semua buat pada Adam.
"Kalau kamu jadi Adam, kamu sedih tak orang tak makan makanan kamu bawa?" kata Mr Ali.
Terus murid-murid dalam kelas berebut makan baki biskut dibawa Adam sehingga habis.
Tindakan tersebut terus membuat Adam tersenyum namun ketika itu gugurlah air mata Mr Ali melihat gelagat anak-anak muridnya.
Katanya kejadian itu sebenarnya sebagai teguran untuk dirinya sendiri untuk menjadi guru yang selalu peka dengan perasaan murid.
Biasanya murid akan sentiasa ingat luka-luka yang mereka lalui sewaktu kecil dan seorang guru harus tolong anak-anak ini supaya lukanya tidak berpanjangan.
"Seorang kanak-kanak mampu memberikan kita pengajaran dalam hidup.
"Kadang-kadang ALLAH hantarkan anak-anak ini untuk sebuah ilmu dan pengajaran," kongsi Mr Ali.
Ibu bapa juga harus berperanan menasihati anak-anak untuk mensyukuri setiap rezeki yang ada dan menghargai rakan belajar agar tiada yang rasa disisihkan seperti dikongsi oleh guru ini. - Mingguan Wanita