Sekolah jalankan siasatan pelajar lakukan vandalisme

Iklan
Tular di media sosial rakaman video sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah, pada Sabtu.

NIBONG TEBAL - Pihak sekolah telah memulakan siasatan terhadap video tular sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang bertindak 'meraikan' penggal terakhir persekolahan dengan merosakkan pelbagai peralatan dan kemudahan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kumpulan pelajar terlibat dalam kegiatan vandalisme itu telah dipanggil oleh pihak sekolah bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyedari sepenuhnya kejadian itu, dan saya juga telah bercakap dengan pegawai PPD mengenai perkara tersebut, siasatan lanjut dan terperinci berhubung perkara tersebut sedang dijalankan oleh pihak sekolah.

"Pertama, tindakan pihak sekolah adalah memanggil pelajar dan ibu bapa mereka untuk siasatan dan mungkin memberi bimbingan dan kaunseling, yang saya fikir penting kerana apa kita lihat (dalam video tular), ia adalah sesuatu tidak sepatutnya berlaku.

Iklan

"Kami tidak akan berkompromi dalam sebarang tindakan vandalisme dan keganasan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program sumbangan awal persekolahan oleh syarikat Nationgate kepada lima buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi di SJKT Nibong Tebal, di sini pada Sabtu.

Dua video berdurasi 28 dan 58 saat itu turut mendapat reaksi negatif netizen di media sosial yang menyifatkan tindakan pelajar-pelajar terlibat tidak mencerminkan didikan diajar di sekolah.

Iklan

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berharap semua pihak agar segera berhenti berkongsi video tular itu bagi melindungi identiti pelajar terlibat dan pihak sekolah.

"Oleh itu, saya harap semua orang dapat menurunkan video yang tular (di media sosial mereka) supaya kita dapat memberi perhatian kepada pemulihan pelajar,” katanya.

Ditanya mengenai nasihatnya agar tindakan sedemikian tidak dijadikan budaya, Fadhlina berkata, beliau tidak menganggapnya sebagai budaya dan berpendapat ada perkara lain yang menyebabkan pelajar-pelajar tersebut melakukan sedemikian.

"Tetapi kita akan siasat secara terperinci, Pegawai PPD ada di sini dan perkara itu dalam pengetahuannya serta beliau memantau dengan teliti, proses yang dijalankan terhadap pelajar-pelajar terlibat dalam kejadian tersebut.

"Jadi saya tidak fikir ini adalah budaya dan tidak sepatutnya dijadikan budaya untuk mana-mana sekolah. Apa yang kita mahukan ialah budaya ABC iaitu 'anak baik dan cerdik'," katanya. - Bernama