SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mencadangkan kerajaan memperkenalkan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu kepada bekas pengguna bahan terlarang dalam Belanjawan 2023 akan datang.
Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, langkah itu dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan inflasi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Iklan
Iklan
"Saya percaya, ia boleh dilaksanakan dengan melibatkan Bank Negara yang mengawal bank-bank komersial dan bank pembangunan atau institusi pinjaman yang dikawal selia terus oleh kerajaan seperti Amanah Ikhtiar, MARA atau bank kerajaan seperti Bank Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Raja Azizan, moratorium secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh badan korporat seperti Courts Mammoth atau AEON Credit pula atas dasar rasa tanggungjawab untuk membantu bekas pengguna bahan terlarang menjalani kehidupan yang lebih baik.
Katanya, jika dilaksanakan, inisiatif itu pasti akan menjadi ikutan dunia dalam memadanikan kehidupan rakyat.
"MASAC dan ahli gabungannya yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bekas pengguna bahan terlarang, boleh mendapatkan data dan membantu kerajaan daripada sudut tatacara mekanisme agar ia boleh dijayakan hingga ke peringkat akar umbi,” ujar beliau.
MASAC turut mempelawa orang ramai atau bekas pengguna bahan terlarang untuk menghubungi MASAC di talian Helpline 017-3226380 yang beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kemudahan sama ada disediakan kerajaan atau swasta.