KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menuduh dan mengaitkannya dalam penyalahgunaan kuasa semasa menjadi perdana menteri.
Beliau berkata, sudah terbukti tuduhan ke atas dirinya itu tidak benar dan semuanya sudah dijelaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya tidak menjadi orang yang meluluskan. It’s not fair that all the focus is on me because the PM ( Datuk Seri Anwar Ibrahim) is maybe not fully aware. Saya minta maaf la, saya pun pernah jadi PM.
"Sesuatu perkara seperti itu tidak seharusnya mudah dikeluarkan kenyataan macam sampai hari ini pun macam menuduh. Ini serius, yang dituduh saya, mantan PM.
"Saya juga adalah pengerusi PN, tapi saya tahu muslihatnya adalah politik supaya orang akan marah dengan saya, orang fikir saya ni perompak, penipu atau saya salah guna kuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Blood Donation Drive Anjuran Yayasan TSM Charity Golf di sini pada Sabtu.
Muhyiddin berkata, perkara berkenaan sudah diserahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
"Kita tidak boleh berhenti kat situ saja la. Bukan soal ini saja, tapi soal yang dibangkitkan seperti isu vaksin yang diusahakan oleh kerajaan PN.
"Soal itu pun dah diteliti oleh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), semua telah berjalan dengan baik tapi ada lagi niat untuk korek lagi sebab semua tak puas hati dan kaitkan saya dengan rasuah. Wallahi saya tak terima satu sen pun dan saya tak tahu.
"Kalau saya salah guna kuasa, segala peruntukan adalah bidang kuasa MOF (Kementerian Kewangan). Kalau saya luluskan pun, tak sah sebab saya tiada kuasa. Ini adalah satu fitnah, memang macam penderaan,” terang bekas perdana menteri itu.
Tambahnya, mereka yang menyokong pengorbanan saya dan mempercayai pendirian PN tiada kaitan dengan program Jana Wibawa.
"Saya terfikir PM tak tahu ke perkara-perkara itu atau tuduhan ini datang dari pihak-pihak lain untuk mencemarkan nama baik saya-.
"Baru-baru ini pihak parti saya telah buat laporan kepada polis terhadap 11 perkara yang kita anggap sebagai perbuatan jenayah untuk pihak PDRM siasat. Itu serah kepada mereka dan saya tak mahu masuk campur.
"Bagi saya... berani kerana benar, Kalau PM buat tuduhan dia yang kena buktikan. Dah 50 tahun saya dalam kerajaan, tiada kes tuduhan salah guna kuasa, rasuah kepada saya. Saya nak cakap ‘I follow the rules’. Saya berpegang teguh kepada undang-undang tapi orang tak yakin, namun saya tetap berpegang pada prinsip yang betul,” jelasnya.
Pada 16 Februari Muhyiddin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung program Jana Wibawa ketika era beliau menjadi perdana menteri.
Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti berkenaan selain pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM bagi dirakam keterangan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun Bersatu bagi membantu siasatan.
Siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.