Chong Wei titip pesan buat pemain negara

Iklan
Chong Wei beraksi bersama seorang pemain badminton para negara ketika mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melawat Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan, Kuala Lumpur pada Sabtu. FOTO: FB KBSMALAYSIA

DATUK Lee Chong Wei ada menitipkan pesan kepada barisan pemain negara selepas kekalahan 2-3 kepada China dalam aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 pada awal pagi Sabtu.

Menurut Chong Wei, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan sesuatu untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Iklan
Iklan

"Ini (BAMTC) satu-satunya persiapan (Piala Sudirman)... tak kisah menang atau kalah, tetapi apa yang penting kita tak boleh hilang keyakinan.

"Apabila balik (ke Malaysia) nanti, BAM akan buat persiapan lebih rapi kepada pasukan negara bagi menghadapi Piala Sudirman pada Mei nanti.

Iklan

"Tahun ini amat penting kerana ada Kelayakan Sukan Olimpik (Paris 2024). Saya hanya harap pemain-pemain dapat temui rentak mereka secepat mungkin," katanya.

Chong Wei berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melawat Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, perjuangan Malaysia pada BAMTC 2023 berakhir apabila tewas 2-3 kepada China yang tampil selaku penyandang juara.

Kekalahan kepada 'skuad kedua' China di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menyaksikan Malaysia gagal merangkul kejuaraan buat kali pertama.

Jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah masing-masing menyumbang satu mata buat Malaysia.

Namun, perseorangan wanita, Goh Jin Wie, beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumbang kepada lawan masing-masing.

Terdahulu, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara setelah tewas 1-4 kepada pasukan pilihan, India selepas membenam UAE dan Kazakhstan 5-0.

Malaysia gagal melepasi pusingan suku akhir sejak kejohanan itu pertama kali diadakan di Hanoi pada 2017 dan seterusnya di Hong Kong (2019). Edisi 2021 di China dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.