Hilang isteri, dua anak, lelaki nekad selamat mangsa lain

Iklan
Gempa bumi memusnahkan kompleks pangsapuri tujuh tingkat yang didiami Bayram yang terletak berhampiran Stadium Nurdagi.

GAZIANTEP - Enggan orang lain turut merasai bagaimana peritnya kehilangan orang tersayang, seorang lelaki berusia 52 tahun nekad menyelamatkan seramai mungkin mangsa dari sebuah bangunan yang runtuh dalam bencana gempa bumi pada 6 Februari lepas di Nurdagi.

Sambil mengawal perasaan sedihnya, Bayram Icue dan beberapa mangsa lain yang terselamat berjaya mengeluarkan kira-kira 20 orang dari kompleks pangsapuri tujuh tingkat yang didiami mereka dan terletak berhampiran Stadium Nurdagi.

Iklan
Iklan

Menceritakan kisahnya kepada Bernama dengan bantuan penterjemah tempatan Arif Ardag, Bayram berkata, ketika kejadian, beliau dan isterinya berlari ke tingkat bawah apabila sebahagian daripada bangunan itu tiba-tiba runtuh yang memisahkan beliau dengan isteri dan kedua-dua anak lelaki mereka.

"Selepas saya berjaya keluar dari runtuhan bangunan itu, saya dapat tahu isteri dan kedua-dua anak kami telah terkorban.

Iklan

"Jadi, saya buat keputusan untuk selamatkan orang lain, saya tidak mahu mereka turut merasai keperitan apabila kehilangan orang tersayang seperti saya,” katanya.

"Ia suatu dilema, yang mana satu harus saya dahulukan namun saya memilih untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup,” katanya.

Iklan

Bayram berkata, ketika gempa bumi kedua berlaku, gegarannya begitu kuat sehingga menyebabkan seluruh lantai bangunan jatuh di atas satu sama lain seperti lempeng dan pangsapuri itu hanya tinggal dua tingkat.

"Sesetengah mangsa yang saya selamatkan cedera parah, muka mereka bengkak teruk dan hampir tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, bangunan pangsapuri itu memiliki 22 unit kediaman dan rumahnya berada di tingkat paling atas.

"Hampir 90 orang berada di dalam bangunan itu pada malam kejadian dan hanya segelintir yang terselamat. Selepas hampir 10 hari, rasanya hanya seorang lagi masih hilang serta terperangkap di bawah runtuhan.

"Isteri serta kedua-dua anak lelaki kami sudah dijumpai oleh anggota penyelamat tempatan dan saya telah mengebumikan mereka dua hari lepas,” katanya. - Bernama




Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/