SHAH ALAM- Kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mengaitkan Menu Rahmah mungkin boleh menyebabkan penyakit berbahaya dilihat mengelirukan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, selaku seorang yang berlatarbelakangkan perubatan, apa yang dikatakan itu boleh memberikan pemahaman yang salah kepada orang ramai.
Sedangkan katanya, kadar RM5 adalah munasabah dan terbukti dapat diterima oleh pengguna dan peniaga.
"Ia adalah bukti tersurat betapa nilai keyakinan seperti yang dinyatakan dalam Malaysia Madani, yang amat diperlukan dalam membina semula negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Halimah dilaporkan menyuarakan kebimbangan tentang penyediaan makanan yang berharga rendah untuk Menu Rahmah, tidak sepatutnya sehingga boleh menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.
Amidi menambah, nilai keyakinan antara semua pihak mampu menggembleng setiap usaha dan tenaga yang dilakukan secara bersama.
"Keyakinan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa, ia hadir bersama ketelusan dan kejujuran.
"Menu Rahmah bukan sekadar makanan tetapi terkandung di dalamnya keyakinan, yang diperteguhkan oleh gagasan Malaysia Madani,” jelasnya.