PUTRAJAYA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempelawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti itu sekali gus menjadi penasihat parti.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pihaknya turut mempelawa isteri kepada Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali untuk menjadi ahli Putra.
"Sukacita dimaklumkan bahawa dewan tertinggi Putra yang mengadakan mesyuarat bulanan pada hari ini (Sabtu) jam 3 petang tadi di ibu pejabat Putra sebulat suara mempelawa Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah menjadi ahli Putra.
"Selain itu dewan tertinggi parti juga membuat keputusan sebulat suara untuk mempelawa Tun Dr Mahathir sebagai penasihat Putra," katanya ketika membuat pengumuman di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Sabtu.
Sebelum itu, Ibrahim bersama barisan kepimpinan tinggi Putra melakukan kunjungan ke Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyerahkan borang keahlian menyertai parti itu kepada Tun Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Ibrahim menyifatkan Tun Dr Mahathir seorang permata negara yang banyak berjasa dalam politik dan pembangunan di negara ini.
"Oleh itu, kita tidak mahu kerugian di mana pengalaman dan perjuangan Tun Dr Mahathir itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesinambungan agama, bangsa, negara dan tanah air," ujarnya.
Sementara itu, Tun Dr Mahathir memberitahu beliau memerlukan masa untuk meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan menyertai Putra.
"Keputusan untuk sertai parti Putra ini sesuai dengan perjuangan saya. Saya ucap terima kasih sebab jemput saya dan akan teliti sama ada Putra ini sesuai atau tidak.
'Kalau sesuai saya akan buat permohonan untuk jadi ahli dan kemudian berkenaan soal nak bagi saya jadi penasihat, bolehlah saya jadi (penasihat)," jelasnya.
Beliau menyatakan tidak ada sebab bahawa dirinya tidak menerima pelawaan untuk sertai parti berkenaan.
"Setakat ini saya tak nampak sebab bahawa saya tak boleh terima...tetapi beri masa kepada saya untuk fikir dengan mendalam sebelum saya buat keputusan," ujarnya.