SEOUL - Korea Utara melancarkan peluru balistik antara benua (ICBM) pada Sabtu dan mendarat di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Jepun selepas Pyongyang memberi amaran keras mengenai tindakan terhadap latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan akan datang.
Pelancaran itu adalah yang pertama dilakukan Pyongyang dalam tempoh tujuh minggu, beberapa hari sebelum Seoul dan Washington dijangka memulakan latihan ketenteraan bersama yang bertujuan meningkatkan tindak balas mereka jika berlaku serangan nuklear Korea Utara.
Iklan
Iklan
Ketua jurucakap kerajaan Jepun, Hirokazu Matsuno berkata, Korea Utara melepaskan sebuah peluru ICBM yang terbang selama 66 minit sebelum mendarat di ZEE negaranya.
Menteri Pertahanan Jepun, Yasukazu Hamada berkata, peluru tersebut mungkin mempunyai kapasiti terbang sejauh 14,000 kilometer (km) yang bermaksud ia mampu tiba di tanah besar AS.
Tentera AS memberitahu AFP, pihaknya telah mengesan pelancaran yang ditembak pada trajektori tinggi dan terbang sejauh 900 km.
"Spesifikasi terperinci sedang dianalisis dengan teliti oleh pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan AS," tambahnya.
Pejabat Presiden Korea Selatan berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara untuk membincangkan mengenai pelancaran tersebut selain memutuskan tindakan tegas terhadap percubaan mengancam keselamatan rakyat negara itu. - AFP