Anwar perlu adil kepada semua parti untuk kekal jadi PM

Iklan
Anwar Ibrahim (Gambar dalam : Ahmad Zaharuddin)

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berlaku adil terhadap kesemua gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan bagi memastikan beliau kekal mengetuai kerajaan sehingga tamat penggal.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak boleh mengambil sikap memberi keutamaan kepada UMNO biarpun parti itu dilihat lebih dominan berbanding parti lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana gabungan politik sedia ada yang membentuk Kerajaan Perpaduan bukan berdasarkan suka sama suka, sebaliknya ‘perkahwinan yang diatur’.

"Secara analogi, pembentukan kerajaan hari ini adalah berdasarkan ‘perkahwinan campur’, untuk memastikan perkahwinan itu lancar pastinya memerlukan komunikasi yang baik antara semua.

Iklan

"Apatah lagi untuk perkahwinan yang diatur oleh orang tengah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Ahmad Zaharuddin berkata, peranan utama Anwar dalam menguruskan negara ibarat suami yang mengemudi bahtera perkahwinan.

Iklan

"Langkah pertama sekali ialah beliau perlu berlaku adil dengan semua, adil ini termasuk dalam banyak perkara antaranya dalam meletakkan sesuatu di tempatnya mengikut kesesuaian, agihan kuasa serta pelantikan dalam kerajaan.

"Mana mungkin mengutamakan hanya UMNO, beliau juga harus memikirkan parti-parti lain yang bersama menyokong beliau,” ujarnya.

Menurutnya lagi, walaupun UMNO dilihat dominan namun dengan hanya 26 kerusi, pemerintahan Anwar tetap utuh walaupun tanpa parti itu.

"Sekiranya berlaku krisis dalaman UMNO sekalipun dan parti itu meninggalkan gabungan tersebut, kerajaan masih utuh kerana ketika ini Anwar mendapat majoriti dua pertiga,” katanya.

Kerajaan Perpaduan ditunjangi PH (PKR, Amanah, DAP, UPKO, Muda) dan Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain Warisan.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya Anwar akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan baginda, sebelum baginda tamat pemerintahan awal tahun depan.

Pada pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 Sidang Dewan Rakyat itu, Seri Paduka menegaskan, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun boleh dielakkan sekiranya ahli politik bersedia mengenepikan perbezaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin membayangkan UMNO kekal kukuh walaupun baru-baru ini parti itu melakukan pemutihan ahli sehingga menimbulkan kontroversi.

"Buat masa ini, saya perhatikan UMNO kukuh biarpun ada ahlinya dikenakan hukuman sama ada dipecat atau digantung keahlian.

"Tindakan tersebut gagal melemahkan UMNO kerana akar umbi tetap bersama parti tanpa mengikut pemimpin terlibat keluar parti atau melakukan protes besar-besaran,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kesannya tidak sehebat ketika Anwar dipecat daripada UMNO sebelum ini.

"Ketika itu, pemecatan Anwar berjaya goyahkan UMNO apabila berlaku hilang sokongan daripada akar umbi.

"Begitu juga ketika Tengku Razaleigh Hamzah meninggalkan UMNO, ketika itu UMNO goyah kerana adanya Semangat 46,” katanya.

Ahmad Zaharuddin percaya dalam apa jua suasana, UMNO masih mampu berdiri dan utuh, cuma sesekali parti itu berdepan dengan proses pembersihan dalaman.