KOTA BHARU - Polis menemui 78 lelaki dan 19 wanita warga Myanmar dalam serbuan di kawasan semak di tepi sawah padi Kampung Sapi, Jeram Perdah, Pasir Mas pada Jumaat yang disyaki mangsa pemerdagangan manusia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika pemeriksaan kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah untuk memasuki negara ini.
Menurut beliau, sebelum itu sepasukan pegawai polis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu anggota Strike Force Kompeni dan anggota Balai Polis Jeram Perdah membuat pemerhatian di kawasan berkenaan.
"Seorang lelaki yang disyaki terlibat kes pemerdagangan manusia didapati memasuki kawasan semak dengan membawa bungkusan makanan dalam keadaan mencurigakan.
"Lelaki warga Thailand itu kemudian menyerahkan makanan kepada sekumpulan lelaki dan perempuan dalam semak," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua 97 mangsa pemerdagangan berusia 16 hingga 58 tahun dan kini ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu jelas Muhamad Zaki, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki warga Thailand itu menemui satu telefon bimbit, wang tunai bernilai RM3,000 disyaki hasil aktiviti pemerdagangan manusia.
"Suspek kini ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan siasatan masih diteruskan," katanya.