GEORGETOWN - Sekumpulan pelajar yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di dalam bangunan sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan akan dikenakan khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, tindakan itu bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah dan sekumpulan pelajar terlibat telah dipanggil bersama waris mereka pada Sabtu bagi membincangkan isu tersebut.
"Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.
"Pihak sekolah sedang mengambil tindakan dengan memanggil mereka yang terlibat bersama waris bagi membincangkan isu ini.
"Pelajar yang dikenal pasti akan dilibatkan dalam khidmat komuniti. Kita berharap dengan penglibatan mereka itu, perkara yang sama tidak akan berulang lagi. Nilai kerugian kerosakan harta benda kini dalam siasatan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan semalam.
Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang meminta semua portal dan media sosial yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka pelajar terlibat supaya memadam video tersebut kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Kata JPN Pulau Pinang lagi, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian dan kempen hentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan.
"JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini.
"Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat seringkali diingatkan supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.
"Kita amat kesal dengan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah," katanya.
Pada Sabtu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian tidak sesekali berkompromi dengan perbuatan vandalisme serta keganasan yang dilakukan pelajar terbabit.