PM minta PNB jaga amanah pelabur

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kepimpinan dan pengurusan Permodalan Nasional Bhd (PNB) supaya tidak leka dalam menunaikan tanggungjawab dan menjaga amanahnya dalam mendukung harapan serta aspirasi para pelaburnya.

Menurutnya, tanggungjawab PNB amat berat kerana para pelaburnya sentiasa mengharapkan pulangan yang baik untuk meningkatkan kualiti hidup.

Iklan
Iklan

"Salah guna kuasa dalam tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan dan rasuah serta ketirisan seperti yang berlaku dalam institusi pelaburan yang lain perlu dielakkan dalam PNB.

"(Jika berlaku) akhirnya kerajaan terpaksa campur tangan, tapi ia bukanlah satu penyelesaian kerana imej yang tercalar tidak mudah untuk diperbaiki dan keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi rakaman video pada perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, jika berlaku penyelewengan dalam PNB, maruah bangsa juga akan tercalar selamanya kerana peranan PNB bukan hanya terhad untuk kepentingan ekonomi semata-mata malah turut meliputi kepentingan sosial.

Iklan

"PNB banyak menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak tinggi kepada masyarakat yang berteraskan pendidikan sehingga kepada penajaan melalui pemberian biasiswa dan kebajikan. Ia memberi manfaat signifikan kepada pelbagai lapisan masyrakat," katanya.

Menurutnya, pencapaian PNB itu adalah manifestasi profesional PNB dalam menggembleng pelaburan rakyat yang setia dan memberi kepercayaan kepada PNB.

"Ia tidak mungkin akan dicapai sekiranya PNB tidak menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti dan amanah," katanya.

Dr Mahathir berkata, PNB berjaya mengumpul dan mengembangkan asetnya sehingga mencecah RM298.5 bilion dengan jumlah 13.8 juta pemegang akaun yang membawa nilai aset sebanyak RM236.6 bilion.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua lapisan rakyat mengambil peluang untuk mengunjungi MSAM bagi mendapatkan pendedahan mengenai cara mengurus kewangan dan pelaburan dengan bijak di samping memahirkan diri dengan teknologi dalam urusan kewangan.

Menurutnya, sejak edisi pertama MSAM 20 tahun lalu, penganjurannya menerima lebih 3.8 juta pengunjung secara kumulatif termasuk masyarakat dari luar bandar. - Bernama