Kertas putih vaksin Covid-19 akan dibentang secepat mungkin

Iklan
Dr Zaliha (tengah) ketika ditemui pengamal media selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah di Wellness Hub hari ini. - Foto Bernama Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon (kiri). 
-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU - Pasukan kerja yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi merangka kertas putih perolehan vaksin Covid-19 baru-baru ini, bukan untuk mencari kesalahan kerajaan terdahulu yang bertanggungjawab dalam urusan berkenaan semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.

Sebaliknya jelas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, tujuannya bagi melihat sudut penyediaan dokumen dan kertas putih pembelian vaksin.

Iklan
Iklan

"Kita akan melihat juga beberapa perkara yang kita boleh tambah baik, mungkin daripada apa yang kita telah dengar dan termasuk laporan yang sudah dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

"Dia (langkah ini) bukan untuk melihat mana-mana kesilapan atau kesalahan tapi keluarkan satu cara terbaik dan lebih berintegriti serta memastikan ada juga keuntungan daripada pihak kerajaan dan sebagainya.

Iklan

"Dokumen itu (dikeluarkan) waktu darurat, mungkin ada perkara-perkara yang perlu dititikberatkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Wellness Hub di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Ahad.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu

Iklan

Pada 9 Februari lalu, Dr Zaliha mengumumkan penubuhan pasukan kerja berkenaan bagi memastikan ketelusan urusan perolehan vaksin.

Menurut Dr Zaliha, dokumen itu bagi memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memaklumkan, KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Perdana Menteri berkata, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang dan Dr Zaliha akan memperincikan perkara terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM memberi jaminan bahawa Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 itu akan dibentangkan ke Dewan Rakyat secepat mungkin selepas disiapkan.

Jelasnya, ketika ini pasukan kerja bagi merangka kertas putih berkenaan masih dalam proses melengkapkan semua data dan maklumat perolehan vaksin Covid-19 yang diperolehi ketika darurat dilaksanakan.

"Belum ada jangka masa yang ditetapkan untuk kertas putih itu dibentang ke Dewan Rakyat kerana kita masih dalam proses lagi.

"Namun ia akan dilakukan (dibentang di Dewan Rakyat) secepat mungkin. Jika siap, kita akan terus bentang kepada kabinet dan kemudian jika dapat kelulusan akan dibentang di Parlimen," katanya.