Cadang bina pusat rehabilitasi di negeri lain

Iklan
Sivakumar (empat dari kanan) mendengar penerangan berhubung pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Ahad. - Foto ihsan Perkeso

IPOH - Kerajaan berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan dengan membina Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri lain.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perancangan berikutan pembinaannya memerlukan kos tinggi selepas pusat sama dibina di Melaka dan Perak.

Iklan
Iklan

"Projek pembinaan pusat ini memerlukan kos yang agak tinggi jadi perancangan lebih strategik perlu dilakukan.

"Ia menjadi hasrat saya bagi membolehkan setiap negeri mempunyai Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan seperti ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak Pusat Rehabilitasi dan kediaman pekerja binaan (TLQ) di Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, A Maniam dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sivakumar berkata, pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso kedua negara seluas 37 hektar di sini berjalan mengikut jadual.

Iklan

Tambah beliau, pembangunan pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara itu melibatkan kos keseluruhan RM654 juta dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2024.

"Pusat ini akan menjadi pusat kecemerlangan bagi program-program rehabilitasi dan Return to Work (RTW) Perkeso di peringkat global selain mampu memuatkan 700 pesakit serta dilengkapi kemudahan rawatan neuro-robotik dan cybernics dari Jepun.

"Kemudahan dan perkhidmatan tertumpu kepada rehabilitasi perubatan dan vokasional yang holistik, berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat," katanya.

Jelas Sivakumar, pelaksanaan projek itu bakal memberi impak dari segi sosio-ekonomi dan pembangunan negeri dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, pembangunan modal insan dan perkembangan pelancongan perubatan.

Pada lawatan itu, beliau turut berpuas hati dengan kemudahan dan fasilitii yang disediakan untuk TLQ di tapak projek berkenaan.

"Saya menyarankan ia menjadi satu standard dalam penyediaan TLQ bagi pekerja-pekerja warga asing yang mematuhi standard dan memenuhi ketetapan keperluan oleh Jabatan Tenaga Kerja.

"Kemudahan disediakan TLQ meliputi asrama penginapan, kafeteria, tempat mandi yang sesuai dengan kapasiti dan surau," katanya.