Belanjawan 2023: Kerajaan tingkat komitmen bangunkan Sabah

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat APM Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali optimis bahawa kerajaan Persekutuan bukan saja akan meneruskan tetapi juga meningkatkan komitmen dari aspek pembangunan kepada Sabah menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat depan.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dizahirkan kepada Sabah diyakini dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kita melihat kepada komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan sejak mula memegang amanah memimpin kerajaan Persekutuan dan dalam aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tidak dapat dinafikan.

"Dalam tempoh yang singkat sudah beberapa perkara yang selama ini kita tunggu sekian lama dari segi melibatkan 'evolution of authority' iaitu yang pertama dari segi penurunan kuasa," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas harapan kepada Sabah menjelang pembentangan Belanjawan 2023.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, komitmen itu juga termasuk dari segi pemerkasaan menerusi pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai jabatan teknik.

Iklan

"Ini melibatkan peruntukan kerajaan membabitkan pembangunan pada kadar siling RM50 juta diserahkan pengurusannya di peringkat negeri sendiri.

"Perdana Menteri telah menzahirkan sekiranya berjalan dengan baik, beliau tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan supaya kadar itu dinaikkan. Jadi kita melihat bukan hanya komponen peruntukan pembangunan itu tetapi juga dari segi kuasa melaksanakan.

"Antara isu sebelum ini adalah peruntukan diumumkan namun pelaksanaannya itu tidak sepenuhnya atas pelbagai aspek, jadi kita menyerahkan kepada agensi negeri untuk memastikan projek-projek ini di peringkat awal pelaksanaannya termasuk dari segi perolehan dan pemantauan dapat dilaksanakan dan seterusnya yang paling penting rakyat dapat memanfaatkan infrastruktur yang telah digariskan dalam setiap belanjawan tahunan," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai aset APM, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 100 unit ambulans jenis pacuan empat roda akan diserahkan kepada agensi itu sebagai aset dalam operasi kecemasan.

"Antaranya yang kita lihat ialah dalam aspek operasi kecemasan atau menyelamat khususnya di kawasan pedalaman memerlukan ambulans pacuan empat roda.

"Alhamdulillah, pada tahun ini kita membekalkan sebanyak 100 unit ambulans pacuan empat roda secara berfasa sehingga Julai 2024 dan untuk fasa pertama ini sebanyak 30 pacuan empat roda dijangka akan sampai pada April pada suku kedua tahun ini.

"Daripada 30 unit itu, sebanyak lapan buah pacuan empat roda akan diberikan kepada Sabah. Secara keseluruhan daripada 100 perolehan yang pertama ini kita akan berikan 15 kepada Sabah dan 15 kepada Sarawak dan selebihnya 70 lagi dibahagikan ke negeri-negeri lain di Semenanjung," katanya.