ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu penempatan haram Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bersedia menyuarakan pandangan berhubung isu berkenaan yang berlarutan sekian lama bagi membantu Kedah.
Menurutnya, penglibatan Dr Mahathir penting kerana beliau antara individu yang terlibat dalam penempatan MIK di kawasan tersebut, terutama dalam aspek sejarah.
"Beliau antara pencetus yang bawa MIK ke kawasan itu, kalau tak tanya Tun (Dr Mahathir), tak ada orang dah yang boleh cerita sejarah panjang-panjang mengenai Bukit Malut.
"Dalam pertemuan baru-baru ini, saya minta sokongan Tun mengenai cadangan kerajaan negeri untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut, dijadikan penempatan baharu penduduk di penempatan haram itu. Beliau setuju dan akan beri kerjasama,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi berharap MKN segera memainkan peranan dalam memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Cuma Dr Mahathir ada berpesan, kalau nak pastikan kediaman itu dapat dibeli oleh orang-orang di situ, tanah tak boleh mahal. Bangunan kena murah sikit barulah mereka mampu beli,” ujarnya.
Menurutnya lagi, projek penempatan tersebut merupakan bawah bidang kuasa MKN, bukannya projek kerajaan negeri.
"Jadi tidak sepatutnya kerajaan negeri yang keluarkan duit untuk bina penempatan baharu. MKN perlu mainkan peranan, buat pengambilan tanah, minta pemaju buat rumah, jadi MIK boleh beli dengan kadar berpatutan kerana tanah itu sudah jadi milik MKN," katanya.
Mengulas sama ada pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 13 Februari lalu turut membincangkan hala tuju politik antara dua parti, Muhammad Sanusi menegaskan, pertemuan itu langsung tidak membincangkan isu politik sebaliknya berkisar kepada Kedah, industri padi, perindustrian, sejarah dan Langkawi.
"Memang dalam Facebook saya kata ada berita baik, minta mereka tunggu apa beritanya tetapi saya bukan maksudkan tentang politik,” katanya.
Ditanya sama ada Dr Mahathir akan menjalin kerjasama bersama PN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Muhammad Sanusi memberitahu, perkara itu belum pasti kerana tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.