ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Gerakan Anti Sanusi (GAS) yang dilancarkan di laman sosial Tik Tok sekadar permainan politik.
Beliau berkata, pihak yang terlibat ibarat pengecut dan bacul kerana hanya berani bersuara namun menyembunyikan identiti dengan tidak mendedahkan wajah sebenar mereka.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sekiranya gerakan tersebut melampaui batas dengan menabur fitnah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Kalau mahu bercakap dalam politik dan rasa kita mengutarakan perkara yang benar tampillah dengan berani, jadi diri sendiri. Kalau bersembunyi di sebalik poster dan dengar suara saja, itu pengecut dan bacul,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi turut menempelak sikap segelintir pihak yang mahu melontarkan pandangan dalam isu politik namun tidak berani bersemuka.
"Tak usah main politik kalau tak berani. Pergi main benda lain, congkak ka. Politik hanya untuk mereka yang berani.
"Bercakap atas diri sendiri, idea dan pandangan sendiri, dengan hujah dan wajah sebenar. Bukan sembunyi wajah dan dengar suara saja,” ujarnya sinis.