22 PATI, 4 tekong dicekup

Iklan
Bot jenis gentian kaca yang dirampas bersama enjin sangkut dalam Op Gelora, kelmarin. - Foto Polis

JOHOR BAHRU - Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong warga Indonesia dicekup polis marin dalam operasi Op Gelora di Sungai Pulai, kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPM W2), ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam operasi itu, empat buah bot dikesan cuba membawa keluar 16 PATI dari perairan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil maklumat dan intipan oleh dua buah bot ronda PPM W2 telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing di Sungai Pulai, Iskandar Puteri dalam operasi yang dijalankan jam 10.30 malam.

"Kita berjaya menahan empat bot tersebut yang melalui jalan tidak diwartakan dan pemeriksaan mendapati terdapat 18 PATI bersembunyi di dalam bot iaitu 12 lelaki dan enam wanita berusia antara 16 tahun hingga 47 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Iklan

Empat tekong lelaki dipercayai warga Indonesia berusia antara 23 tahun hingga 39 tahun itu juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Polis berjaya merampas empat buah bot jenis gentian kaca (fiber glass) termasuk empat unit enjit sangkut jenama Yamaha.

Iklan

Dalam pada itu, Paul percaya sindiket penyeludupan yang mula aktif sejak awal bulan ini masih belum ditumpaskan sepenuhnya.

"Penangkapan ini mendedahkan bahawa sindiket yang beroperasi di Sungai Pulai, Iskandar Puteri ini mula aktif sejak awal bulan April 2019.

"Namun dipercayai masih terdapat beberapa buah bot sindiket lagi yang masih beroperasi. Tindakan lanjut akan digerakkan bagi memburu dan memberkas saki baki sindiket terlibat berdasarkan maklumat-maklumat yang telah dikumpulkan," katanya.

Antara PATI yang ditahan polis dalam Op Gelora, kelmarin. - Foto Polis

Beliau sempat menyeru masyarakat maritim terutamanya yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang serta mengugat ketenteraman awam supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan, empat tekong bot tersebut mengaku baharu sahaja terlibat dengan aktiviti tersebut.

"Hasil soal siasat awal ke aras empat orang tekong, mereka beritahu baharu sahaja bekerja membawa penumpang balik ke Indonesia.

"Manakala siasatan ke atas penumpang bot mendapati mereka tinggal di Malaysia lebih kurang setahun dan bekerja sebagai buruh binaan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya.

Keempat-empat tekong akan disiasat dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala kesemua PATI disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 ( Pindaan 2002 ).