PUTRAJAYA - Seramai 63 warga Indonesia yang disenaraihitamkan Imigresen ditahan selepas menyeludup masuk ke Bintulu, Sarawak, pada Jumaat.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi Op Kenyalang itu dilaksanakan setelah pemerhatian dan risikan yang dilakukan hampir tiga bulan.
"Dalam operasi berkenaan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun yang dipercayai ketua kepada sindiket penyeludupan migran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Khairul Dzaimee berkata, pasukan operasi berjaya menahan seramai 37 lelaki dan 26 wanita warga Indonesia berumur di antara 22 hingga 52 tahun.
"Seramai 30 orang telah ditahan di rumah transit, turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,000.
Beliau berkata, seramai 33 orang lagi telah ditahan semasa pemeriksaan bas dilakukan di sekitar bandar Bintulu.
"Pemeriksaan ini dilakukan terhadap dua buah bas yang disyaki membawa warga asing, berdasarkan maklumat yang diterima," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, dalam operasi yang sama pasukan telah menahan empat orang pegawai imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket berkenaan.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai imigresen," katanya.
Beliau berkata, sindiket akan menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.
"Pegawai imigresen ini akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya," katanya.
Menurutnya, warga asing yang telah mendapat cap keselamatan ini seterusnya akan dibawa ke rumah-rumah transit yang telah ditetapkan oleh sindiket sebelum mereka dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan juga Lapangan Terbang Bintulu.
"Mereka akan meneruskan perjalanan ke Semenanjung melalui laluan domestik," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan maklumat awal, sindiket ini telah beroperasi hampir lapan bulan yang lalu iaitu apabila pintu sempadan negara dibuka.
"Warga asing yang hendak masuk ke Malaysia dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 seorang kepada sindiket. Sindiket dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, kesemua warganegara asing ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.
"Sementara itu empat pegawai imigresen dan ketua sindiket pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.