JERANTUT - Lebih 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara menyertai program amal dan kemasyarakatan, Jom Cuci Masjid (JCM) kali ke-41 di Masjid At-Taqwa, Felda Kota Gelanggi Dua dan Empat dekat sini pada Ahad.
Penasihat DZ Bikers, Datuk Zaila Mohamad berkata, program JCM yang dilaksanakan pada kali ini turut mendapat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya membawa sumbangan daripada Yayasan Al-falah yang diterajui Datuk Seri Zahid dan beliau juga sudi menyerahkan beberapa naskhah Yasin berserta sumbangan peribadi.
"Diharapkan dengan sumbangan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan mereka yang terlibat," katanya ketika ditemui pada Program amal dan kemasyarakatan, Jom Cuci Masjid (JCM) pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi JCM, Jalil Kamarudin berkata, pelbagai aktiviti diadakan termasuk program keagamaan, gotong-royong, selain menyampaikan sumbangan kepada komuniti asnaf kariah di kawasan tersebut.
Jelasnya, peserta juga dikongsikan dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui Nabi Muhammad SAW dalam segment bicara santai.
Jalil menambah, tabung kemanusiaan bencana Turkiye turut dilancarkan pada program terbabit sekali gus membantu meringankan beban mereka yang terjejas dalam bencana gempa bumi awal Februari.
"Sumbangan itu akan disalurkan kepada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia (MTS). Pusat pengajian MTS di Turkiye yang dikatakan mengalami kerosakan dan kemusnahan teruk akibat bencana terbabit.
"Usaha murni melalui bantuan kepada MTS Turkiye diharap dapat meringankan sedikit beban mereka yang memerlukan," katanya.
Untuk rekod, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia menyediakan program lanjutan pengajian bidang al-Quran ke MTS Turkiye secara percuma kepada pelajar di negara ini.