'Empat bulan sengsara di Thailand'

Iklan
Lima daripada 19 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Thailand berjaya dibawa pulang dengan selamat.

SEPANG - Mangsa penipuan pekerjaan yang berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa pulang ke tanah air pada Ahad mendakwa hidup mereka seumpama di neraka apabila dikerahkan bekerja sebagai scammer.

Mereka mendakwa tidak menyangka akan mengharungi kesengsaraan itu kerana urusan berlepas ke Thailand berjalan sempurna tanpa sebarang unsur penipuan dikesan.

Iklan
Iklan

"Kami sengsara lebih empat bulan di sana (Thailand)," kata salah seorang mangsa penipuan pekerjaan berusia 20-an yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Mangsa lelaki tersebut tiba dari Bangkok, Thailand dengan selamat bersama empat mangsa lain iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

Iklan

Kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 26 tahun dibawa pulang ke tanah air oleh PDRM dan Kementerian Luar Negeri.

Mangsa yang berjaya diselamatkan itu menasihatkan oang ramai terutama golongan belia agar tidak mudah tertipu dengan tawaran lumayan yang ditawarkan oleh agensi penyediaan kerja di luar negara.

Iklan

Menurutnya, tawaran yang diterima harus diteliti dan disemak dengan pihak berkuasa negara terutama PDRM bagi memastikan tidak ditipu biarpun ia diuruskan agensi pekerjaan sah di negara ini.

"Lebih baik mana-mana yang mendapat tawaran bekerja di luar negara membuat semakan terlebih dahulu dengan PDRM bagi memastikan ia benar-benar sahih," katanya.

Ujarnya sebelum ini dia ditawarkan gaji berjumlah AS$1,100 (RM4,800) sebulan.

Jelansya, ia satu tawaran cukup lumayan ditambah pula pihak sindiket turut menyediakan tiket penerbangan ke Bangkok dan hotel yang selesa.

Media sebelum ini melaporkan, lima rakyat Malaysia iaitu Adam Iskandar Tukiman, 20; Akmar Hamsan, 19; Kamil Abd Hamid, 25; Nur Fitriani Abdullah, 19, dan Lee Zhi Cong berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan siber yang berpengkalan di Myanmar.

Kesemua mangsa diselamatkan hasil maklumat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Mereka diselamatkan oleh sepasukan Tentera Thailand di KK Gardens di Myawaddy, Myanmar pada 3 Februari lalu sebelum dibawa ke Bangkok.

Chon Siang memainkan peranan penting dalam memastikan pembebasan 91 rakyat Malaysia di Kemboja dan Thailand.

Difahamkan, kesemua mangsa dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan yang berpangkalan di KK Garden, sebuah kawasan luas yang menempatkan beberapa syarikat yang terletak di sepanjang Sungai Moei di bandar sempadan Thailand, Mae Sot.