JOHOR BAHRU – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Azlinda Abdul Latif pada Ahad membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa berlakunya fitnah politik besar-besaran terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Azlinda, laporan polis berkenaan turut mengandungi 10 isu lain terhadap Perdana Menteri ke-10 itu.
"Hari ini, kami daripada Wanita PN Johor hadir kerana benar bagi menyuarakan kepada kerajaan PH/BN (Pakatan Harapan/Barisan Nasional) agar segala fokus, tenaga, minda, usaha dan inisiatif (membela nasib rakyat)
"Ekonomi semakin meruncing dan ini semakin merisaukan rakyat. Oleh itu, kami mohon agar hentikan fitnah secara besar-besaran yang ditujukan kepada individu tertentu kerana budaya ini bukan budaya sihat.
"Rakyat mahu sesuatu yang baharu membela nasib mereka, bukannya berikan fokus kepada agenda dendam politik individu,” katanya setelah selesai membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, pada Ahad.
Tambah Azlinda, kesemua fitnah politik terhadap Tan Sri Muhyiddin juga perlu dihentikan kerana tidak ada bukti yang nyata.
Malah katanya, kesemua kenyataan dilihat ‘dipetik’ ‘atas angin’ tanpa bukti yang kukuh.
"Rakyat dah muak dan mahukan suatu keadilan. Oleh itu, saya juga memohon agar siasatan juga dilakukan kepada semua parti politik yang terlibat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.
Sementara itu Azlinda berkata, pihaknya menjangkakan ada lagi laporan polis dibuat di tempat lain selepas ini berhubung perkara berkenaan.
"Setakat ini negeri lain tak ada (buat laporan polis), tapi saya jangka akan ada...kita akan wujudkan gelombang dan setakat ini gelombang itu sudah pun bermula di Johor,” katanya.