KUALA LUMPUR - Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) hari ini mahu Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk menerima parti itu sebagai satu daripada komponen gabungan berkenaan.
Presiden IPF, Datuk T Loganathan berkata, sebagai Friends of BN, penerimaan sebagai anggota gabungan itu adalah suatu pengiktirafan kepada IPF, mengambil kira kesetiaan parti berkenaan terhadap BN selama hampir 30 tahun.
Loganathan berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung IPF ke-30 pada Ahad.
Sementara itu, antara resolusi yang diluluskan IPF pada perhimpunan agung berkenaan termasuk meminta kerajaan untuk meneruskan agenda pelan tindakan bagi kaum India seperti dirancang ketika kerajaan BN dahulu serta memperkasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil terutama di kawasan luar bandar.
IPF turut meminta diperuntukkan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain turut memohon diberi jawatan di dalam kerajaan seperti Ahli Dewan Negara, ahli majlis kerajaan tempatan dan jawatan di dalam syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.
BN kini dianggotai empat parti utama iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita berkata, beliau menyokong hasrat IPF dan parti-parti yang menganggotai Friends of BN yang lain untuk menjadi parti komponen BN bagi memperkukuh gabungan itu pada pasca-Pilihan Raya Umum ke-15.
"Kita perlu membuat langkah yang berbeza untuk masa hadapan... pada saya setelah kita kalah dua kali dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, apa salah kita membuka pintu hati kita agar saling kuat antara satu sama lain untuk tujuan yang baik," katanya. - Bernama