Budayakan integriti dengan pendidikan berterusan

Iklan
Rasuah berskala besar kini menjadi tumpuan dan perhatian kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelamatkan wang rakyat daripada dirompak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KITA menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, baginda menghargai komitmen serta tekad kerajaannya untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar.

Iklan
Iklan

Rasuah berskala besar kini menjadi tumpuan dan perhatian kerajaan bagi menyelamatkan wang rakyat daripada dirompak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perbahasan Titah Diraja, kes berskala besar yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini antaranya skandal air terbesar di Sabah melalui Ops Water.

Iklan

Skandal tersebut membabitkan penyelewengan infrastruktur mencecah RM3.3 bilion, yang mana setakat ini aset berjumlah RM63 juta berjaya dikembalikan dan kes masih berjalan di mahkamah.

Selain itu, sindiket bitcoin membabitkan kecurian bekalan elektrik dengan kerugian sehingga RM2.3 bilion antara 2018 hingga 2021, disiasat melalui Ops Power dan tuntutan palsu dalam insentif semasa Covid-19 membabitkan Program Penjana Kerjaya melalui Ops Hire, dengan wang diselamatkan sebanyak RM426 juta.

Iklan

Ini hanyalah sebahagian daripada ‘barah’ rasuah dan penyelewengan yang menyebabkan ketirisan wang rakyat. Kita percaya banyak lagi kes rasuah dan penyelewengan berskala besar akan dibanteras hingga ke akar umbi dengan tindakan agresif oleh SPRM.

Ketegasan kerajaan dapat dilihat daripada kenyataan Anwar bahawa mana-mana menteri yang didapati terlibat dengan budaya rasuah atau salah guna kuasa akan dipecat serta-merta, yang memberi isyarat bahawa kerajaan tiada kompromi dengan jenayah tersebut.

Andainya skandal-skandal sebesar ini tidak terjadi, bayangkan apa manfaat yang bernilai ribuan juta ringgit dapat diperolehi oleh rakyat.

Sudah pasti pembangunan yang lebih rancak, pendapatan rakyat yang lebih baik, infrastruktur kesihatan yang lebih banyak, peningkatan universiti awam, yuran pengajian tinggi yang lebih murah dan banyak lagi.

Menjadi harapan kita agar kes-kes ‘jerung’ ini tidak terjadi lagi selepas ini dengan membudayakan integriti, pendidikan masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan pembanterasan rasuah yang agresif hingga ke akar umbi.

Tujuannya hanya satu, iaitu mengembalikan segala hasil negara untuk manfaat seluruh rakyat.

Umum mengetahui pelbagai slogan dan gagasan diuar-uarkan setiap kali bertukarnya kerajaan antaranya Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Baharu, Malaysia Prihatin, Keluarga Malaysia dan yang terbaru Malaysia Madani.

Bagi menjadikannya sesuatu itu sebati dengan jiwa, ia memerlukan kepada pendidikan yang berterusan serta iltizam politik yang tinggi untuk membudayakannya.

Pendidikan berterusan berkaitan pembudayaan integriti bukan sahaja perlu dilaksanakan sepanjang masa, bahkan merangkumi segenap golongan masyarakat, anak kecil, kanak-kanak, remaja dan dewasa, juga pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa dan yang berkerjaya.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mendukung dan menyokong penuh gerakan massa untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah seperti Rasuah Busters, melalui pelbagai aktiviti, program dan kempen kesedaran.

Gerakan ini bertujuan membawa sebuah reformasi nilai dan integriti dengan matlamat perjuangan membanteras pandemik rasuah, yang boleh membawa perubahan dalam masyarakat terutamanya dengan sistem nilai.

Kita percaya melalui pendidikan yang berterusan melalui gerakan seperti ini, lama-kelamaan masyarakat akan memandang jijik terhadap jenayah rasuah, sekali gus dapat membudayakan nilai integriti dalam diri.

Oleh itu, mendidik masyarakat dalam membudayakan integriti ini dan membanteras rasuah bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata, bahkan ia adalah tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia.

Kita yakin dengan penuh harapan negara Malaysia yang tercinta ini mampu dipacu ke arah kemakmuran dan kesejahteraan demi kebaikan masa depan.

*Hj Badlishah Sham Baharin ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia