REYHANLI, TURKIYE -"Saya tiada apa-apa lagi di dunia ini kerana isteri dan lima anak terkorban dalam runtuhan bangunan kediaman kami."
Demikian luah Ibrahim Abdul Karim, 45, ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapa saudaranya di sini.
Lelaki warga Syria yang menetap di Antakya sejak 15 tahun lalu itu kelihatan sugul sambil bersandar di dinding rumah ketika ditemui.
Tiada sebarang kata-kata keluar dari mulutnya walaupun salam dihulur oleh wakil Sinar Harian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care ketika menyampaikan bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.
Mengambil masa untuk memulakan bicara, Ibrahim akhirnya membuka cerita selepas dipujuk rakan senegaranya yang juga kehilangan insan tersayang dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter pada awal pagi, 6 Februari lalu.
Pada awalnya Ibrahim berkata, dia bersama isteri dan dua anak sedang tidur di ruang tamu manakala tiga anaknya lagi berada di dalam bilik.
Ketika berlaku gegaran, dia mengejutkan kesemua ahli keluarga dan mengarahkan mereka untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu bangunan kediaman mereka sudah bergoyang.
Sebaik Ibrahim berjaya keluar dari pintu rumah di tingkat satu bangunan lima tingkat, secara tiba-tiba dinding dan siling batu rumahnya runtuh.
"Sebaik saya melangkah keluar pintu, dinding dan siling rumah terus menghempap kesemua mereka (isteri dan anak-anak) sebelum bangunan rumah saya rruntuh.
"Hanya saya yang terselamat manakala anak-anak dan isteri terkorban," katanya.
Biarpun kejadian itu sudah memasuki tempoh dua minggu, Ibrahim berkata, peristiwa pahit itu sentiasa menghantui dirinya.
Ini kerana katanya, dia sering bermimpi melihat kecerian wajah semua ahli keluarganya.
"Semua kenangan bersama anak dan isteri terkubur dalam runtuhan itu.
Bercerita lanjut Ibrahim berkata, sehari sebelum kejadian dia sempat menunaikan permintaan isterinya untuk membawa mereka sekeluarga bersiar-siar di taman.
"Saya tidak menyangka itulah kali terakhir melihat senyuman mereka," katanya yang reda dengan dugaan besar melanda dirinya.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/