JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang optimis kondisi fizikalnya mampu mencapai tahap terbaik dalam misi memburu mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris menjelang pusingan pertama Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia.
Beliau memberitahu, sudah mendapat lampu hijau daripada pihak perubatan berhubung kemampuannya dalam kempen itu bermula Khamis ini.
Seiring dengan situasi tersebut, pelumba kelahiran Terengganu itu menyasarkan untuk melayakkan diri ke pentas final bagi acara keirin dan 10 terbaik bagi acara pecut.
"Tahap kesihatan saya amat penting.
"Sebaik pulang saya sempat membuat ujian perubatan. Saya sudah dapat lampu hijau baik dari segi luaran dan dalaman untuk mengerah kudrat," katanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
"Ia juga bertujuan melapangkan fikiran saya yang berasa bimbang andai sesuatu terjadi sekiranya saya membuat pecutan.
"Tidak berasa gusar lagi, jadi saya mahu memberi 110 peratus dan dapatkan tempat terbaik dalam perlumbaan pertama ini.
"Saya tidak berani letak harapan terlalu tinggi lagi," katanya.