Seleweng duit MAINS: Polis dalam proses lengkap kertas siasatan

Iklan
MAINS sebelum ini mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan wang zakat di dalam agensi itu.

SEREMBAN - Polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kertas siasatan itu sedang dilengkapkan untuk dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Iklan
Iklan

"Kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

"Namun saya tidak boleh dedahkan jumlah individu yang telah pun diambil keterangan setakat ini kerana ia masih dalam siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Justeru itu beliau meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Iklan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.

Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.