Rasuah: Bung Moktar, isteri beri keterangan bermula 15 Jun

Iklan
Bung Moktar dan isterinya akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen pada 15 Jun.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Jun.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu pada sebutan kes pada Isnin yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, peguam M Athimulan mewakili Bung Moktar dan peguam Teh See Khoon mewakili Zizie Izette.

Iklan
Iklan

"Mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan memandangkan kes ini telah lama. Oleh itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula Jun pada 15, 16, 26 dan 27, manakala Julai pada 10 hingga 14, 20, 21, 24 dan 25,” kata Rozina yang turut menetapkan 27 Mac untuk sebutan.

Terdahulu, Athimulan berkata, setakat ini seramai enam saksi pembelaan termasuk Bung Moktar dan isterinya akan memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan selama 13 hari itu.

Iklan

"Pihak kami masih dalam pertimbangan sama ada akan menyediakan pernyataan saksi atau tidak,” katanya.

Ditanya Rozina mengenai status rayuan pasangan itu di Mahkamah Rayuan, Teh berkata pengurusan kes terhadap rayuan itu ditetapkan pada 22 Mac ini sementara menunggu rekod rayuan yang masih belum siap.

Pasangan itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.

Iklan

Pada 3 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung Moktar, 63, dan Zizie Izette, 44, untuk menggantung perbicaraan membela diri, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. - Bernama