JOHOR BAHRU - Catherine John, 68, tidak pernah menyangka bahawa perasaan gelisah selain mata yang kerap berkelip dalam tempoh seminggu lalu membawa petanda dia bakal kehilangan anak lelaki, menantu dan cucu kesayangannya buat selama-lamanya setelah terlibat dalam kemalangan Ahad lalu.
Menurut Catherine, dia memang terkejut apabila menerima panggilan daripada keluarga menantunya pada petang Ahad yang memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan.
"Saya memang terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini (kemalangan), pada petang semalam (Ahad).
"Lagi pun, saya baru sahaja bercakap dengan anak saya di telefon semalam (Ahad), dan minta dia datang ambil barang di rumah saya di Masai... saya nak bagi cucu saya carrot (lobak), sebab dia suka makan lobak mentah, macam itu sahaja," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada Isnin.
Untuk rekod, anak Catherine, Mohammad Shahril Abdullah, 38, Habsah Jailani, 41 (menantu) dan cucunya, Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10, meninggal dunia dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi di sini, pada Ahad.
Ketiga-tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Uda selepas selesai pemeriksaan kesihatan Muhammad Dany Lukman Naim di Klinik Kesihatan Kempas.
Akibatnya, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Tambah Catherine anak, menantu serta cucunya itu memang rapat dan sentiasa bersama-sama walau pergi ke mana sahaja.
Malah katanya, perkara berkenaan nyata terbukti sehingga ke akhir hayat mereka.
"Mereka sekeluarga memang rapat... tak boleh berenggang, ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan pergi bersama.
"Saya selalu berdoa kepada tuhan agar mereka selalu bersama dan tidak sangka mereka meninggal pun bersama," katanya.
Sementara itu, abang kepada Habsah, Mahiedel Jailani, 47, memberitahu, dia mengetahui mengenai kemalangan berkenaan apabila dimaklumkan oleh rakannya yang datang ke rumahnya di Bandar Baru Uda, pada petang Ahad.
Malah, Mahiedel yang tinggal bersama adiknya itu berkata, ketika pulang dari kerja, dia sempat melambaikan tangan kepada adiknya itu yang sedang dalam perjalanan keluar untuk ke Klinik Kesihatan di Kempas.
"Saya bekerja di Singapura, adik saya juga kerja di Singapura sebagai pekerja pembersihan... petang sebelum kemalangan kami sempat berselisih dan saya sempat menegur mereka.
"Setelah tiba di rumah, saya tidak makan makanan yang telah disediakan oleh adik saya kerana masih kenyang setelah makan di kedai dan kemudian ketika tidur, seorang rakan datang ke rumah dan saya terkejut apabila dia memberitahu saya tentang kemalangan itu.
"Memang tiada petanda atau perubahan yang ditunjukkan adik saya sebelum meninggal dunia, namun saya rasa terkilan jugalah sebab tidak makan makanan yang disediakannya... itu juga menjadi masakan terakhirnya," katanya.