Hisyam hanya hiasan ketika rayuan akhir - Shafee

Iklan
Najib

PUTRAJAYA - Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak menghujahkan kepada Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin bahawa keputusan mahkamah tidak membenarkan penangguhan menyebabkan hak bekas Perdana Menteri itu dinafikan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pemimpin UMNO itu berkata demikian ketika prosiding semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda terhadap Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Ketika hujahan, beliau berkata, Najib bukan sahaja tidak dibenar untuk menangguhkan prosiding, malah peguam utamanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ‘dipaksa’ untuk kekal berada dalam prosiding biar pun, telah memohon untuk menarik diri.

"Ini bukan bermaksud saya tidak menghormati Hisham, tetapi ketika rayuan akhir itu, beliau menjadi peguam yang tidak efektif kerana tidak bersedia, beliau sendiri mengakuinya, Hisyam seakan-akan hiasan di mahkamah itu.

Iklan

"Pada 16 Ogos tahun lalu, ketika hari pertama pendengaran prosiding rayuan, peguam itu memohon penangguhan dan sekiranya tidak dibenarkan beliau akan menarik diri,” katanya ketika prosiding didengar di hadapan lima panel hakim.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Iklan

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Hisyam dilepaskan daripada mewakili Najib.

Beliau berkata, ia merupakan ‘representasi paksa’ oleh peguam yang tidak berkesan, dan tidak bersedia dengan hanya bertindak secara pura-pura.

"Kenapa tergesa-gesa, adakah kerana PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) hampir tiba?

"Tidak membenarkan penangguhan telah melanggar hak asasi,” kata Muhammad Shafee.

Pada 26 Julai 2022, Muhammad Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co tidak lagi mewakili Najib selepas bekas Perdana Menteri itu menghentikan perkhidmatan mereka dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Najib melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Sufflan TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu manakala Datuk Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama dan Liew Teck Huat serta M Rueben sebagai peguam bersama.

Pada 16 dan 18 Ogos tahun sama, peguam, Hisyam memohon untuk menarik diri namun mahkamah menolak permohonan itu dengan berpandangan bahawa Hisyam gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk menarik diri.

Pada peringkat itu Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, mahkamah masih menganggap Hisyam sebagai peguam Najib sehinggalah beliau menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.

Hisyam kemudiannya menyatakan tidak akan mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes itu di hadapan lima panel hakim diketuai Tengku Maimun.

Prosiding semakan bersambung Selasa dengan Muhammad Shafee menyambung hujahannya.

Sekiranya selesai, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram akan membalas hujahan tersebut.