MELAKA - Tindakan warga Rohingya yang dipercayai menggunakan sindiket pernikahan ekspres tidak seharusnya berlaku sekali gus mencalar imej warga yang lain.
Pengerusi Rohingya Melaka, Jamal Hussin,32, berkata, ia bukan sahaja satu kesalahan malah disebabkan hanya segelintir yang melakukan kesalahan itu menyebabkan warga Rohingya lain terpalit sama.
Menurutnya, prosedur pernikahan bagi masyarakat itu tidaklah sukar dan bayarannya juga tidak membebankan selain mengikut kemampuan masing-masing untuk membayar wang kepada jurunikah yang sah.
Katanya, sebelum pernikahan berlaku pasangan perlu memohon kebenaran pernikahan di Majlis Ulama Rohingya atau Persatuan Rohingya Malaysia (RSM) di Jalan Ampang sebelum diluluskan.
"Kemudian pasangan akan dinikah di rumah masing-masing dan selalunya mereka memilih mengadakan majlis pernikahan selepas solat asar.
"Jurunikah yang sah akan hadir dan bayaran seikhlas hati diberikan kepada jurunikah itu," katanya ketika ditemui di Peringgit di sini, pada Isnin.
Jelasnya, selepas itu dalam tempoh seminggu hingga sebulan pasangan akan diberikan sijil pernikahan yang sah sama ada menerusi pos ataupun e-mail yang dikeluarkan pihak berkenaan.
Jamal berharap warga Rohingya di Melaka tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh mengundang masalah dan menganggu gugat keharmonian rakyat Malaysia.
"Sepatutnya kita yang menumpang di negara ini perlu bersyukur dapat hidup di Malaysia dan jangan menimbulkan sebarang masalah," katanya.
Seorang pekerja kontraktor yang dikenali sebagai Rashid berkata, dia berkahwin dengan isterinya warga Indonesia pada tahun 2014 dan tidak berdepan sebarang kesulitan meskipun berlainan warganegara.
Menurutnya, apa yang penting isterinya beragama Islam dan proses pernikahan berlangsung di RSM Kuala Lumpur dengan bayaran dikenakan bagi proses sijil pernikahan sebanyak RM150 sahaja.
Katanya, sebelum ini juga terdapat rakan-rakannya didakwa menggunakan sindiket itu dipercayai didalangi warga Bangladesh di Kota Raya, Kuala Lumpur.
"Mereka dikenakan bayaran sekitar RM200 dan dalam tempoh satu hari boleh mendapat sijil nikah palsu itu.
"Lagipun ada beza sijil nikah asli dengan yang palsu, sekali pandang dah tahu ia palsu," katanya.
Dia yang juga komuniti RSM Melaka berkata, komuniti akan membuat semakan terlebih dahulu sama ada kedua-dua pasangan yang mahu bernikah itu adalah bujang dan mesti berusia 18 tahun ke atas sebelum permohonan pernikahan diluluskan.
"Ketika saya nikah di Kuala Lumpur, bayaran mas kawin ketika itu hanyalah empat gram emas dan tidak ada masalah yang timbul kalau ikut saluran betul," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat berkata, pihaknya masih lagi membuat risikan dan menyiasat sindiket nikah ekspres yang didakwa digunakan warga asing negeri ini.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan hanya bermodalkan RM450, pasangan warga asing beragama Islam di negeri ini dikatakan sudah layak mendapat perkahwinan kononnya diiktiraf yang dikendalikan oleh seorang 'imam'.
Sindiket pernikahan ekspres itu terbongkar susulan penahanan suami isteri etnik Rohingya dan warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulau Senang, Semabok dalam operasi bersepadu selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu.