KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kelantan mempersoalkan pemakaian kostum ala perang sempena Himpunan Pemuda Pas Terengganu pada Jumaat lalu.
Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pihaknya menzahirkan rasa bimbang dan membantah sekeras-kerasnya gimik perarakan tersebut.
"Apakah tujuan sebenar diadakan perarakan sedemikian oleh sayap pemuda sebuah parti dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti Malaysia?
"Walaupun menggunakan replika pedang, lembing dan perisai perarakan sedemikian berpotensi mencetuskan mesej keganasan yang akan menggugat keamanan dalam negara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Soalnya, bagaimana Pas boleh menjadi pembangkang yang kuat bagi menjalankan tugas semak dan imbang yang amat diperlukan dalam satu negara bertamadun.
Beliau memberitahu, AWAN mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang melakukan kesalahan dan mengancam keselamatan negara.
"Pada saat kita giat membina Malaysia sebagai sebuah Negara Madani, tindakan Pemuda Pas amat menyimpang daripada pendekatan Rahmah dan harmoni yang sedang dipromosikan.
"Cukuplah Tragedi Berdarah Memali sebagai satu peringatan bahawa keganasan dan ekstremisme tidak akan menguntungkan sesiapa," katanya.