KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menyifatkan 'perhatian lebih' yang diberikan terhadap perarakan Pemuda Pas Terengganu menggunakan kostum pakaian bersimbolkan keagamaan Islam menunjukkan bayangan Islamofobia era pentadbiran kerajaan hari ini.
Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, beliau hairan dengan sikap segelintir pihak yang mengaitkan setiap unsur keagamaan khususnya melibatkan Islam dengan keganasan.
"Sedangkan pada masa perarakan kostum atas Nijigen Expo 2023 pada tarikh sama yang berkesinambungan daripada Pesta Komik 2022 menggunakan metod kostum anime bersenjata diadakan di ibu kota, Kuala Lumpur tidak pula digegarkan.
"Sejarah ketamadunan Islam dahulu tidak boleh dinafikan sebagaimana perang Tanah Melayu sebelum merdeka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, wujudnya peperangan dan pemakaian kostum seumpama itu hanyalah simbol kegemilangan tamadun Islam.
Ujarnya, jika orang Melayu berbangga dengan keris dan lembing, sejarah Islam pula memadamkan peperangan melalui pedang, panah dan kuda.
Belia memberitahu, begitu juga bukan Islam yang mempunyai nilai sentimental tertentu dengan kostum peperangan termasuk anak muda yang terpengaruh dengan watak komik dan anime, lalu dipertontonkan melalui perarakan beragam.
"Jika ini dibolehkan dan tiada laporan polis dibuat oleh parti yang menyokong kerajaan, apa salahnya dengan perarakan kostum Pemuda Pas?
"Malangnya, apa sahaja berkait agama Islam akan dimomokkan dengan keganasan," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan perarakan sekumpulan Pemuda Pas Terengganu bersama replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sedang menyiasat isu itu yang kini tular.