Bimbang kalau babak itu dipotong: Pengarah Kamar Kamariah

Iklan
Drama Kamar Kamariah

BAGI anda yang setia dengan slot Akasia TV3, pastinya sudah menonton tiga episod drama terbaharu, Kamar Kamariah.

Drama ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Fizz Fairuz, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Aidil Aziz.

Iklan
Iklan

Naskhah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin, disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Tidak hanya mempertaruhkan pelakon hebat dan pengarah yang mempunyai sentuhan magis semata-mata, skrip Kamar Kamariah dihasilkan oleh penulis tersohor, Sharifah Abu Salem.

Iklan

Mengulas mengenai keistimewaan drama ini, Raja Ahmad berkata, drama ini tampil dengan jalan cerita yang segar, berat dan sarat konflik.

"Drama ini menceritakan konflik sepasang suami isteri, di mana isterinya telah bersalin hanya enam bulan selepas mereka mendirikan rumah tangga, namun si suami belum menyentuh dirinya. Murad lakonan Fizz adalah lelaki talam dua muka di mana depan ibunya, dia seorang anak yang sopan, yang berbudi bahasa dan begitu baik.

Iklan

"Bagaimanapun apabila berada di dalam kamar atau bilik tidur, dia sering menzalimi Kamariah, lakonan Nabila.

"Jadi, pelbagai konflik berlaku sehingga Kamariah terpaksa menghantar anaknya bersekolah tahfiz bagi menyelamatkan anaknya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Drama Kamar Kamariah

Tambah Raja Ahmad, ketika penggambaran berlangsung setahun lalu, dia mengakui agak bimbang sekiranya ada babak yang tidak lepas untuk tayangan.

Jelasnya, lakonan berkesan yang diberikan Fizz dan Nabila membuatkan setiap babak nampak benar-benar berlaku.

"Kedua-dua pelakon ini saling memberi, lebih-lebih lagi melibatkan babak dipukul. Bagi saya agak kasar dan nampak bagai benar-benar terjadi.

"Jadi saya bimbang kalau babak itu dipotong. Tapi setakat ini apa yang lihat, babak-babak yang kami buat, ada mengikut perancangan,” katanya.

Ambil masa setahun

Ditanya mengenai tempoh penggambaran drama ini, Raja Ahmad berkata, mereka sudah menjalani penggambaran kira-kira setahun lalu.

Katanya, Kamar Kamariah sepatutnya disiarkan untuk slot Dahlia, namun dia terkejut apabila akan disiarkan di slot Akasia.

"Kami menjalani penggambaran selama dua bulan melibatkan beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Bagi saya perubahan slot ini berita yang menggembirakan kerana slot Akasia lebih menjadi pilihan penonton,” jelasnya.

Raja Ahmad berkata, apa yang diharapkan, penonton akan menyukai drama ini dan mengambil iktibar daripada apa yang dipaparkan.

"Mesej utamanya adalah kita jangan menilai orang berdasarkan luarannya sahaja. Malah ada juga orang yang kita lihat buruk di awal kehidupannya, tapi pengakhirannya baik.

"Begitulah juga sebaliknya. Selain itu ia juga memaparkan pengorbanan si isteri dalam berdepan dengan suami yang zalim,” katanya.

Drama Kamar Kamariah

Kamar Kamariah mengisahkan kehidupan suami isteri bahagia pada pandangan orang lain. Namun isterinya derita sepanjang kehidupan bersama suami. Kekejaman dan kezaliman Murad kepada isterinya, Kamariah tidak pernah diketahui orang sekeliling.

Murad merupakan seorang lelaki alim dan berhati mulia di sisi pandangan orang kampung. Namun sebaliknya Murad berselindung menjalankan perniagaan kelab malam.

Dia perlu berkahwin dengan Kamariah atas pilihan ibunya. Konflik bertambah apabila Murad mengetahui kisah silam Kamariah dan Kamariah melahirkan anak yang dianggap bukan darah dagingnya. Keadaan itu menyebabkan Murad menjadi baran dan mendera Kamariah.

Apakah yang akan berlaku terhadap Kamariah? Saksikan jawapannya di TV3.