'Jangan takut, Pas bukan parti ekstrem'

Iklan
Hanafiah

KUALA NERUS -"Pas tidak pernah mencetuskan provokasi, rusuhan atau sebarang tindakan melanggar undang-undang walaupun kalah dalam pilihan raya, kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat.

Jelas beliau, Pas bukan sebuah parti yang ekstrem dan ganas malah tidak perlu ditakuti oleh mana-mana pihak kerana tidak pernah membangkitkan sentimen perkauman dan agama di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu yang ditimbulkan mengenai replika senjata yang dibawa kontinjen Pemuda Pas ketika program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu baru-baru ini merupakan provokasi politik.

"Isu perarakan yang melibatkan replika senjata itu sebenarnya tidak wajar dipolitikkan kerana ia hanyalah sebahagian daripada pertandingan dalam program tersebut.

Iklan

"Mengenai perarakan itu, ia juga bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah dianjurkan sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah timbul sebarang isu.

"Ia hanya pertandingan yang bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. Peserta juga tidak bawa senjata tajam kerana semuanya adalah replika," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, pada Isnin.

Iklan

Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu menjelaskan, beliau percaya isu itu dibangkitkan oleh 'tangan ghaib' bagi tujuan memberikan imej buruk terhadap parti itu.

"Ada 'tangan ghaib' yang menularkan perkara itu untuk memberi gambaran seolah-olah ada satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Jangan takut kepada Pas kerana kita sudah perjuangkan Islam hampir 60 tahun. Kita warnai parti politik dalam negara bahkan kita sudah sertai 15 kali Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini," tegasnya.

Bagaimanapun Hanafiah berkata, kesemua pemimpin Pas sedia bekerjasama dengan pihak polis yang kini menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

"Kita sedia dipanggil untuk disiasat. Bagi kita isu ini juga tidak menjejaskan persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Saya yakin gelombang hijau ini akan berterusan hingga berlakunya PRN sekitar bulan Jun atau Julai nanti, malah saya yakin enam negeri akan berjaya ditawan 'gelombang hijau',"ujarnya.

Hanafiah berharap provokasi politik itu dihentikan segera kerana tumpukan sebenar yang perlu diberikan ialah terhadap usaha mensejahterakan rakyat.

Ahad lalu tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu.

Selain replika senjata yang dipegang oleh sekumpulan lelaki yang memakai kostum perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi dibawa kenderaan pacuan empat roda yang difahamkan antara alatan bagi pertandingan dalam program tersebut.